Saya kematian suami baru-baru ini dan mengalami beberapa peristiwa aneh dalam tempoh 40 hari selepas beliau meninggal dunia iaitu saya berasa ada seseorang yang menyelimutkan saya ketika tidur.
Ada yang menyatakan itu mungkin roh suami yang meninggal. Kemusykilannya, adakah benar roh boleh melakukan perkara sedemikian? Ada juga menyatakan roh itu berada di sekeliling ahli keluarganya dalam tempoh tertentu. Benarkah kenyataan berkenaan?
ZAIRIN, Besut
Jawapan:
Manusia dan roh orang yang meninggal dunia terdinding dengan dinding yang kukuh dipanggil barzakh. Firman Allah SWT bermaksud; “Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan.
“Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong).
“Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.” (Surah Al-Mu’minuun: 99-100)
Firman Allah, ertinya; “Allah memegang jiwa (roh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa (roh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan…” (Surah Az-Zumar : 42)
Jadi jelas bahawa roh berada di dalam genggaman Allah dan Allah tidak membenarkan roh untuk kembali ke dunia.
Maka tidak benar dakwaan puan. Kemungkinan dan tidak dapat dipastikan puan terganggu dengan makhluk lain yang menyerupai seseorang.
Walaupun terdapat pandangan menyatakan roh yang berkeliaran dengan manusia di bumi, namun ia termasuk perkara ghaib yang hanya dalam pengetahuan Allah. Maka serahkan ilmu tersebut kepada Allah. Wallahuaklam.
Sekiranya berlanjutan, dicadangkan supaya puan menjalani rawatan dengan cara perawatan Islam yang diakui.
Selain itu, puan hendaklah sentiasa beramal dengan ayat-ayat yang melindungi manusia daripada gangguan makhluk lain seperti ayat Qursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas. Insya-Allah tiada lagi gangguan.
Tags:
mazeer