Peserta dari Sabah iaitu Siti Junaidah Bekri muncul sebagai juara program Ceria Popstar 2016 yang diadakan di Studio Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Jumaat.
Dengan kemenangan itu Siti Junaidah atau Jun menerima hadiah wang kemenangan sebanyak RM20,000 berserta trofi.
Jun turut menerima Anugerah Bintang Genius tajaan Qu Puteh IQ Genius dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.
Tempat kedua pula milik Muhammad Shahrezza Abu Samah atau Rezza dari Sarawak yang menyampaikan lagu Dealova dan Mewangi.
Rezza membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta trofi.
Tempat ketiga dan keempat pula milik Muhammad Aniq Iffat Ruzaimi dan Hazmil Hassan.
Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.
Kesemua hadiah adalah sumbangan Astro.
Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta perlu menyampaikan dua buah yang turut menyaksikan mereka membuat persembahan pada pusingan battle bagi menentukan juara.
Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Awie bertindak selaku juri tetap manakala Zizan Razak sebagai juri jemputan.
Pemarkahan pusingan pertama menggunakan format penjurian profesional sebanyak 50 peratus manakala selebihnya adalah undian peminat.
Manakala menerusi pusingan battle adalah menerusi penjurian sepenuhnya oleh juri profesional.
Konsert kemuncak Ceria Popstar 2016 turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Wings, Hazama dan Hafiz Suip.
Siaran langsung itu turut disiarkan menerusi Astro Ceria (611), Astro Maya HD (135) dan Astro Prima (105) pada pukul 9 malam.
Ia dihoskan oleh Nabil Ahmad manakala Datuk Aznil Nawawi bertindak sebagai penaung program itu.
Sumber: Mstar