Mukhriz dedah lebih 50 cawangan usul undi tidak percaya kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri

Lebih 50 cawangan Umno di Kedah didakwa mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Lebih 50 cawangan usul undi tidak percaya Najib

Lebih 50 cawangan usul undi tidak percaya Najib

Perkara itu didedahkan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook Mukhriz Mahathir FC, hari ini.

Beliau berkata, usul itu turut mendesak supaya pemilihan parti tidak ditangguhkan dan segera dilaksanakan pada tahun ini.

“Mungkin ada lagi cawangan-cawangan yang buat usul sama, tapi tidak melaporkannya. Saya alu-alukan kalau ada sesiapa yang hendak memaklumkan mengenai cawangan yang tidak tersenarai.

“Banyak lagi cawangan yang merancang untuk buat usul yang sama, tapi diugut dan ditekan untuk membatalkan hasrat itu. Ada juga yang bermesyuarat tanpa korum yang cukup, tapi dianggap cukup,” katanya.

Menurutnya, 29 cawangan Umno di Bahagian Jerlun dua di Kuala Kedah, satu di Merbok, tiga di Pendang, 11 di Kubang Pasu, tiga di Baling, satu di Kulim-Bandar Baharu, satu di Jerai dan dua di Langkawi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Najib.

“Mungkin juga akan ada pihak-pihak tertentu yang menafikan bahawa cawangan-cawangan yang tersenarai ini benar-benar buat usul sedemikian, melesapkan ataupun meminda minit mesyuarat cawangan tersebut dalam laporan di peringkat bahagian.

“Memang itu pun yang kami jangka akan mereka lakukan. Jumlah cawangan ini tentunya akan dikatakan terlalu sikit berbanding jumlah cawangan Umno di Kedah. Tapi belum pernah dalam sejarang kita ada usul-usul seperti ini diluluskan oleh begitu banyak cawangan,” katanya.

Adun Ayer Hitam itu berkata, demi demokrasi dalam Umno, ia merupakan hak ahli-ahli untuk menyuarakan isi hati masing-masing mengenai kemelut yang melanda negara.

“Apa pun, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada cawangan-cawangan tersebut. Berani kerana benar! Teruskan perjuangan untuk selamatkan Malaysia daripada kemungkaran,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

 

Post a Comment

Previous Post Next Post