Pelajar Nepal, Bangladesh dan Pakistan kaut untung RM126,000 sebulan buat bisnes kereta sewa dengan 30 kereta dicekup polis

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menahan tiga pelajar asing kerana disyaki menjalankan perniagaan kereta sewa tanpa permit di sekitar Cyberjaya.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Operasi) JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata tiga buah kereta milik warga tempatan turut disita dalam satu operasi khas JPJ yang bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Gambar hiasan - Sumber gambar dari keretasewaseremban.blogspot.com

Gambar hiasan – Sumber gambar dari keretasewaseremban.blogspot.com

Beliau berkata tiga lelaki itu yang berasal dari Nepal, Bangladesh dan Pakistan, dalam lingkungan umur 20-an, dipercayai menjalankan kegiatan itu selama enam bulan dengan menggunakan 30 buah kenderaan.

“Hasil risikan dan siasatan mendapati mereka meletakkan pelbagai jenis kereta untuk disewa di premis perniagaan dengan meletakkan iklan melalui media sosial dan tiang elektrik di Cyberjaya.

“Mereka menetapkan kadar bayaran RM120 hingga RM140 sehari, bergantung kepada jenis kenderaan, dan mengaut keuntungan lebih RM126,000 sebulan hanya dengan menjalankan perkhidmatan ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Menurut Muhammad Kifli, ketiga-tiga lelaki itu yang merupakan pelajar tahun kedua dan ketiga sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Cyberjaya, menyasarkan pelajar asing untuk menggunakan perkhidmatan kereta sewa tanpa permit itu.

“Kereta itu dimiliki warga tempatan dan mereka menyewakannya kepada warga asing, yang akan menyewakan kenderaan itu kepada orang lain. Inilah kaedah sewa atas sewa.

“Keuntungan pula akan dikongsi mengikut skala yang dipersetujui, kemungkinan 50-50,” jelasnya, sambil menambah JPJ akan mengambil tindakan keluarkan saman ke atas warga asing dan pemilik kenderaan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak JPJ sedang mengesan pemilik kereta-kereta yang disita itu dan operasi khas itu dijalankan selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa di kawasan itu.

“Semalam, semasa risikan, terdapat 10 buah kenderaan yang diletakkan di premis restoran itu, tetapi pada pagi ini, hanya tinggal tiga sahaja. Siasatan mendapati Jumaat, Sabtu dan Ahad merupakan hari yang paling banyak permintaan untuk kereta sewa,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata tiga pelajar warga asing itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Mereka bertiga akan disiasat di bawah Seksyen 23 (2) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, katanya.

“Tiga lelaki itu juga disiasat di bawah Seksyen 90 (1) akta yang sama iaitu kesalahan tidak melindungi kenderaan dengan insurans, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dua lagi dalang tonto ditahan dalam Ops Cantas Khas Tonto bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjadikan jumlah tangkapan 12 orang setakat ini.

“Dua lelaki itu berumur 40-an ditahan di Negeri Sembilan dan Selangor pada Isnin dan Rabu lalu, merupakan antara 16 tonto dalam senarai dikehendaki oleh PDRM,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post