Polis sedang mengesan pemandu lori yang dipercayai membawa muatan berlebihan dan dilihat memandu secara berbahaya.

Perbuatan individu itu berjaya dirakam oleh pengguna jalan raya dan  menjadi viral di laman sosial.

Pemandu lori diburu polis

Pemandu lori diburu polis

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai dan menerusi media sosial.

Menurutnya, kejadian dikenal pasti berlaku di jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat simpang Kampung Belengu di sini.

“Kita sudah kenal pasti lori terbabit dan sedang mengesan pemandunya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) berikutan memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan rakaman seorang pengguna jalan raya, pemandu lori itu dipercayai membawa muatan secara berlebihan dan memasuki lorong bertentangan ketika terdapat kenderaan lain di hadapannya.

“Rakaman menunjukkan pemandu lori bertindak masuk lorong bertentangan selepas menyedari muatan dibawa, hampir tersangkut pada jambatan di lokasi kejadian.

“Disebabkan kedudukan struktur jambatan lebih tinggi di laluan bertentangan, jadi pemandu ini mengubah haluan secara tiba-tiba,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 60,000 pengguna laman sosial melihat rakaman sebuah lori dengan muatan dipercayai berlebihan dipandu secara melulu dan berbahaya.

Ini berikutan pemandu lori tersebut menyedari muatan yang dibawa gagal melepasi sebuah jambatan yang melintasi bahagian atas jalan raya Kuala Lumpur-Kuantan dekat simpang Kampung Belengu.