GAMBAR seorang guru menyemak beberapa kertas peperiksaan anak muridnya di sebuah hospital mengundang rasa hormat orang ramai di media sosial.
Walaupun sedang menerima rawatan , wanita yang dikenali sebagai N.Indrany ini dilihat masih lagi gigih dengan tugasnya sebagai seorang pendidik.
Seorang netizen, Khairuddin Md Isa, yang berkongsikan gambar guru berkenaan di halaman sosialnya, mengatakan begitu terpegun dan terpesona dengan sikap mulia wanita itu.
Menurut Khairuddin, cikgu Indrany dirawat di Hospital Besar Ipoh kerana menghidap penyakit lelah.
“Ziarah Ibu Mertua di Hospital Besar Ipoh, di sebelah katilnya melihat seorang guru tekun dengan menanda kertas jawapan pelajar. Sempat bertanya khabar, beliau beritahu kertas jawapan itu terpaksa dihantar esok.
“Bila ditanya tiada guru yang lain mengajar subjek sama, beliau berkata beliau seorang saja mengajar kerana subjek Bahasa Tamil. Saya dan isteri keluar dari wad dalam pukul 11.30pm beliau masih lagi menanda kertas jawapan tersebut.
“Itulah pengorbanan seorang guru ibarat lilin menerangi kehidupan pelajar. Siapalah kita untuk merendahkan pengorbanan seorang guru,” tulisnya.
Cikgu Indrany difahamkan telah berkhidmat sebagai pendidik lebih 30 tahun dan kini mengajar di sebuah sekolah menengah di bandar raya yang sama.
Sumber: MYNEWSHUB.CC