Peniaga R&R Dengkil Selatan trauma lihat langit gelap



DENGKIL: "Saya cuma ingat akan mati sebab siling dan bumbung diterbangkan angin, pelanggan pula lari bertempiaran mencari tempat berlindung," kata Kamsani Mohd Zin, 55.
Peniaga di Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Dengkil Selatan itu berkata, beliau pada mulanya menyangka hanya hujan lebat tetapi berasa takut apabila angin semakin kuat sehingga pokok berhampiran seperti mahu tercabut. 
"Pelanggan mula bergegas ke ruang dalam kedai apabila angin kencang menerbangkan daun dan sampah masuk ke premis, manakala hujan batu sebesar syiling 10 sen mula turun sekitar R&R.  Selama 14 tahun berniaga di sini, selalunya hanya hujan lebat tanpa ribut kencang.
"Ia kejadian pertama selama saya berniaga di sini dan sehingga kini, saya masih trauma. Apabila melihat langit kian gelap, berdebar-debar takut kejadian Sabtu lalu berulang," katanya sambil menambah, mereka hanya berserah kepada Allah, membaca ayat suci al-Quran sebelum keadaan pulih kira-kira 20 minit kemudian. 
Seorang lagi peniaga, Wan Azila Wan Ismail, 41, yang mengusahakan gerai menjual madu di R&R berkenaan, berkata beliau dalam perjalanan ke kedainya dari Shah Alam dan mendapat tahu bencana itu menerusi gambar yang dikirimkan pekerjanya melalui aplikasi WhatsApp.
 Promosi produk anda secara PERCUMA !!
"Melihat gambar berkenaan, saya masih tidak boleh percaya atau dapat membayangkan apa berlaku. Ketika hampir tiba di sini, saya lihat banyak pokok dan papan tanda penunjuk arah tumbang, menyebabkan saya takut dan risaukan nasib pekerja serta kedai. 

"Kejadian bukan sahaja merosakkan harta benda, malah difahamkan siling yang berterbangan turut menimpa dan mencederakan kanak-kanak kerana ada yang meminta bantuan perubatan daripada pekerja saya," katanya.

Kelmarin, satu klip video berdurasi kira-kira tiga minit tersebar di laman sosial dan WhatsApp, menunjukkan pelanggan dan pekerja di R&R Dengkil Selatan membaca ayat suci, melaungkan azan ketika ribut yang menyebabkan siling serta bumbung di bangunan terbabit melayang.

Post a Comment

Previous Post Next Post