Barangan peribadi, selipar dan cebok milik Tok Guru imbau nostalgia

SAYU… Mungkin ini kata-kata dapat digambarkan ketika melangkah masuk ke Galeri Tok Guru yang menempatkan pelbagai barangan peribadi milik bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun tidak mengenalinya dengan rapat namun rasa itu muncul juga.

Penulis terbayang bagaimana perasaan insan-insan yang mengenalinya dengan rapat dalam situasi ini.

Rasa sayu tiba-tiba datang ketika kaki melangkah masuk di pintu galeri dan saat mata ini terpandang pelbagai potretnya yang dipamerkan.

Seolah-olah terimbau kembali cara beliau bercakap dan menjawab pertanyaan ketika sidang media mahupun ketika ‘diserbu’, al-Fatihah Tok Guru.

Difahamkan meski baru beberapa hari dibuka, galeri tersebut sudah dikunjungi lebih 500 orang ramai dari seluruh negara.

Sebelum ini, asyik mendengar cerita orang, namun setelah melihat sendiri bagaimana sederhananya kehidupan seorang bekas pemimpin yang pernah memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu sekian lama, rasa kagum memang tidak dapat dinafikan.

Baldi, selipar, berus gigi, bangku plastik malah cebok yang digunakan Allahyarham saja boleh menggambarkan kehidupan sehariannya.

Tiada satu pun barangan berjenama digunakan, sebaliknya hanya barangan biasa termasuk pakaian yang digemarinya, sehelai pagoda berwarna putih.

Menurut anak lelaki sulungnya, Nik Omar, Allahyarham bapanya itu juga tidak gemarkan sejadah yang bercorak-corak.

“Ayah lebih suka alas (sejadah) warna putih tapi kalau tak ada dia akan balikkan sejadah bercorak dan gunakan yang belakangnya,” katanya ketika ditemui di Galeri Tok Guru semalam.

Selain sejadah beberapa barangan lain turut dipamerkan antaranya, al-Quran dan rehal yang sering digunakan Allahyarham, almari baju yang berusia puluhan tahun, peralatan berkebun, koleksi barangan peribadi seperti lesen serta pasport dan lain-lain.

Galeri yang terletak berhampiran dengan kediaman Allahyarham di Pulau Melaka itu bakal dibuka kembali kepada umum setelah tamat cuti sekolah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari tahun lalu di rumahnya kira-kira satu jam selepas keluar daripada hospital.

 

Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

Previous Post Next Post