Dalam masa 2 jam sahaja, Pengemis kemboja menyamar muslim raih RM200 dalam masa 2 jam di Bazar Ramadan

Seorang pengemis warga Kemboja hanya memerlukan masa dua jam untuk mengutip sebanyak RM200 ketika menagih simpati orang ramai di bazar Ramadan Dungun, di sini, baru-baru ini.

Menyamar Muslim raih simpati

Menyamar Muslim raih simpati

Menyamar Muslim raih simpati

Bermodalkan pakaian lusuh, lelaki yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) itu hanya duduk di suatu sudut di bazar berkenaan yang menjadi laluan orang ramai membeli juadah berbuka puasa.

Usahanya tidak melalui kesukaran berikutan masyarakat tempatan rata-ratanya bermurah hati dan menghulurkan wang tanpa perlu dirayu.

Namun nasib lelaki berusia lingkungan 30-an itu tidak begitu baik apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama beberapa agensi kerajaan lain melaksanakan operasi bersepadu ‘selamatkan pengemis’ yang mana dia dicekup ketika sedang mengemis.

Menyamar untuk raih simpati

Lebih mengejutkan adalah, tiada siapa menyangka bahawa lelaki yang kudung sebelah kaki itu sebenarnya beragama Buddha dan menyamar sebagai Muslim untuk mengaburi mata serta meraih simpati masyarakat tempatan.

Ketika disoal siasat oleh penguat kuasa, lelaki itu mengaku sebagai umat Islam, namun kelihatan gelisah serta kelakuannya serba tidak kena apabila diminta mengucap dua kalimah syahadah sehingga akhirnya mengaku beragama Buddha.

Lelaki itu juga dipercayai berpura-pura tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu kerana ingin menyembunyikan identitinya.

Amaran kepada remaja bawah umur

Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff memaklumkan sebanyak tiga tangkapan dibuat pada operasi berkenaan termasuk warga asing serta seorang warga tempatan bawah umur, manakala enam lagi turut dibawa ke pejabat JKM dan diberi amaran.

“Operasi disertai kakitangan JKM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kawasan operasi turut merangkumi kaki lima bank dan lokasi tumpuan, iaitu bazar Ramadan.

“Warga asing dari Kemboja yang ditangkap telah diserahkan kepada pihak Imigresen dan berdasarkan siasatan, lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Mohd Naufal berkata, dua lagi tangkapan melibatkan warga tempatan yang mana salah seorangnya merupakan gadis berusia 15 tahun dan JKM telah memberi amaran agar individu terbabit tidak mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan meminta sedekah sekali gus melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambahnya, setakat ini sebanyak enam tangkapan dibuat sepanjang operasi dijalankan dengan kebanyakan kes dirujuk kepada institusi JKM dan jika berlaku kesalahan berulang, individu terbabit akan ditahan di Desa Bina Diri yang berpusat di Johor.

“Di situ (Desa Bina Diri) pengemis-pengemis akan dididik dan diajar cara urus diri serta masa depan dengan lebih baik,” katanya.

Turut kesan sindiket

Dalam pada itu Mohd Naufal menjelaskan bahawa aktiviti mengemis di negeri ini masih terkawal namun tidak dinafikan Dungun menjadi lokasi tumpuan pengemis terutama pada Ramadan kerana berada di tengah-tengah sempadan Marang dan Kemaman.

“Dari segi kemajuan, bandar Dungun agak pesat menyebabkan aktiviti mengemis turut berlaku. Kita juga dapati berlaku kes-kes melibatkan sindiket, iaitu di Paka yang membabitkan dua beradik dari Kemboja.

“Pemantauan dan operasi bersepadu sememangnya dijalankan dari semasa ke semasa dan kita juga ada jalankan operasi berjadual atau berkala bagi membasmi aktiviti tersebut. Selain itu kita edar risalah berkaitan termasuk ‘bijak membantu elak tertipu’,” katanya.

Menurutnya, risalah berkenaan memberi panduan serta peringatan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah digunakan pengemis.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkompromi dengan pengemis dan hanya memberikan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kebanyakan sindiket pengemis hanya ambil kesempatan untuk keuntungan diri dan orang ramai perlu berhati-hati serta bertindak bijak agar tidak tertipu,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post