HASRAT seorang wanita ingin berbelanja di sebuah pasar raya terbantut apabila dirinya menjadi mangsa pencuri yang menggunakan taktik kotor ‘tukar troli’ dalam kejadian di KIP Mart Masai, Johor Bahru baru-baru ini.
Mangsa, Rozita Jumat menerusi perkongsian di laman sosialnya menceritakan bagaimana dia telah diperhatikan gerak geri oleh pencuri yang kemudian menukar trolinya yang dipenuhi barang, tatkala dia terleka.
Menurut Rozita, jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan mencecah RM200 dan difahamkan, modus operandi ‘tukar troli’ sering berlaku di pasar raya tersebut.
Kami kongsikan semula pengalaman mangsa agar orang awam yang sering berkunjung di pasar raya lebih peka dengan taktik kotor pencuri yang menggunakan modus operandi seperti ini.
Saya nak kongsi satu kejadian yang berlaku pada saya di KIP Mart Masai minggu lalu. Peristiwa ini, saya harap dapat memberi iktibar kepada semua. Semoga anda semua lebih berhati-hati ketika berbelanja di sana.
Jam 6 petang, saya tiba di KIP Mart. Parking di bahagian pasar basah, terus beli ikan dan barang-barang dapur. Kemudian saya beli buah-buahan 6-7 jenis untuk buat gubahan hantaran majlis perkahwinan adik saya pada keesokan harinya iaitu, 28 Mei.
Lenguh juga berdiri memilih buah-buah yang besar dan molek-molek. Maklumlah untuk hantaran kan. Selepas itu, terus pergi ke bahagian pakaian. Dah banyak gerai-gerai jual baju raya. Dari satu kedai ke satu kedai cari baju Melayu untuk anak lelaki nak khatam Quran pada malam Jumaat 27 Mei. Dapat baju Melayu, terus beli instant shawl untuk anak-anak perempuan yang nak khatam sekali. Dalam RM200 saya habiskan di situ.
Sebelum balik, saya pergi ke food court, beli dan bungkus makanan untuk makan malam anak-anak. Dalam perjalanan ke parking, adik saya WhatsApp, mak pesan beli daun salad untuk jamuan makan beradab. Jadi saya terus pergi ke bahagian sayur.
Saya berhenti di satu kedai sayur, berdepan dengan kedai-kedai menjual ikan. Sebaris gerai-gerai jual buah. Jadi, dekatlah dengan pintu keluar. Saya pun letaklah troli di belakang saya sementara saya membelek-belek daun salad, nak tengok masih segar atau sebaliknya.
Tak sampai seminit saya tengok, terus tak jadi beli. Bila saya pusing ke belakang dan tolak troli saya. Baru 2, 3 langkah, saya tengok dalam troli itu bukan barang-barang milik saya. Ada sayur berplastik dan ikan kembung sahaja. Saya dah mula panik. tengok sekeliling dan mencari di mana troli saya.
Memang tiada di situ. Saya pun berlari keanak-anakan dalam KIP Mart itu mencari troli yang saya pegang tadi dan menyangka ada individu yang tersalah ambil troli. Saya pergi ke bahagian kaunter informasi, tiada orang. Bila ditanya orang-orang berhampiran di situ semua, tiada seorang pun yang nampak. Akhirnya, saya redha saja dengan linangan air mata.
Tak tahu di mana lagi nak mencari. Fikiran sudah buntu dan saya fikir mahu balik saja. Baru teringat kucing-kucing di rumah. Ikan 3 kilogram yang dibeli dan disimpan dalam troli, lepas begitu sahaja. Saya pusing balik pergi ke kedai ikan.
“Kak, bukan ke akak dah beli ikan tadi? Ini akak yang nak balik Segamat kan? Dah kenapa akak menangis ini?” soal budak-budak gerai.
Dalam keadaan sebak, saya pun ceritakan pada mereka apa yang berlaku. Rupa-rupanya kejadian ini sudah banyak berlaku.
“Dah banyak berlaku kak. Ada yang berbelanja ratusan ringgit dengan troli penuh, hilang begitu saja dilarikan orang. Semua kejadian itu berlaku di depan kedai-kedai sayur. Pencuri akanstandby satu troli lain untuk digantikan dengan troli kita,
“Kalau kita perasan ada orang ambil troli kita, si pencuri akan kata ‘maaf, tersalah ambil troli,’ yang sebenarnya mereka memang berniat mahu mencuri troli itu.
“Pencuri datang ke KIP Mart macam pelanggan juga, kononnya nak berbelanja. Tetapi dia akan memerhatikan gerak geri mangsanya. Mereka bukan seorang, tetapi dah macam ada sindiket,” dedah mereka.
Jadi saya kongsikan cerita ini agar semua tahu tentang kewujudan sindiket curi troli. Semoga kita semua lebih berhati-hati bila berbelanja di KIP Mart. Pastikan ada yang menjaga troli anda setiap masa. Jangan beri mereka peluang untuk mencuri troli anda.
Apa-apa pun saya redha, memang bukan rezeki kami sekeluarga. Hari itu saya balik dengan ikan 3kg sahaja. Saya yakin, Allah akan menggantikan yang lebih baik lagi. Alhamdulillah, ternyata janji Allah itu pasti. Maaf, panjang sangat saya bercerita di sini.
Sumber: Facebook Rozita Jumat
Sumber: MYNEWSHUB.CC