Ibu & Anak 18 Bulan Maut Dalam Kemalangan Libatkan 16 Kenderaan


KUALA LUMPUR - Seorang ibu dan anak perempuannya berusia setahun setengah maut dalam kemalangan melibatkan 16 kenderaan di‎ KM406 Lebuhraya Utara Selatan dekat Tanjung Malim, yang menghala ke pusat bandar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, kereta yang dinaiki Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28, dan anaknya Hanna Humaira Mohd Hasnun, berada di lorong tengah lebuh raya sebelum dirempuh treler membawa muatan kelapa sawit‎ yang terbabas dari lorong kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata akibat‎ rempuhan itu, kereta mangsa tersepit dengan sebuah treler lain yang‎ berada di lorong paling kiri.

Beliau berkata impak daripada pelanggaran itu, mangsa dan anaknya maut serta‎ merta manakala suaminya, Mohd Hasnun Ramli,29, yang memandu kereta itu, cedera.

"Akibat perlanggaran itu, kenderaan lain tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran seterusnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Supramaniam berkata kemalangan itu melibatkan empat treler, dua van dan 10 kereta.

Beliau berkata punca kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta‎ Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu treler kelapa sawit itu ditahan untuk siasatan lanjut dan menjalani‎ ujian air kencing manakala kesemua mangsa itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat mangsa lain cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata lokasi kejadian merupakan kawasan 'panas' kemalangan.

"Agak merunsingkan bagaimana kemalangan sering berlaku sedangkan jalan di sini mempunyai tiga lorong dan ia lurus serta rata, bukannya kawasan berbukit bukau atau bengkang bengkok," katanya.

- Bernama

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post