India, Pakistan perlahan-lahan ‘bunuh’ hasil tenunan tempatan

Nampak cantik tapi bukan buatan Malaysia. Kebanjiran samping buatan India dan Pakistan menyerupai hasil tenunan dari Terengganu dan Kelantan boleh melupuskan secara perlahan hasil penat lelah anak tempatan menghasilkan pakaian tradisi Melayu.

India, Pakistan perlahan-lahan 'bunuh' hasil tenunan tempatan

India, Pakistan perlahan-lahan ‘bunuh’ hasil tenunan tempatan

Manakan tidak, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mendapati hampir 90 peratus peniaga menjual samping dari India dan Pakistan berikutan harganya yang murah.

Malah, kebanyakan peniaga tidak mahu menjual samping hasil tenunan tempatan kerana harganya mahal, selain tidak mendapat sambutan orang ramai.

Jika keadaan itu berterusan, kemungkinan samping hasil tenunan anak tempatan tidak lagi terjual kerana sambutannya yang dingin, selain lambakan daripada luar negara menenggelamkan hasil kerja anak tempatan.

Peniaga samping di Wisma Yakin Zafrin Bakri, 54, berasal dari Kampung Baru, di sini, berkata, sejak kehadiran samping buatan India dan Pakistan, hasil tenunan anak tempatan tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna.

“Saya hanya berharap pelanggan tetap membeli samping tempatan berikutan harganya mencecah ribuan ringgit.

“Kebanyakan pelanggan datang ke kedai hanya mahukan samping buatan India kerana harganya lebih murah dan kualitinya memuaskan,” katanya yang berniaga samping sejak 30 tahun lalu.

Zafrin berkata, lambakan samping dari India dan Pakistan disebabkan tindakan individu menghantar paten pakaian tradisi itu ke negara berkenaan untuk dikeluarkan secara besar-besaran.

“Tindakan itu berikutan kos tenaga kerja dan barangan di negara terbabit lebih rendah berbanding di Malaysia menyebabkan harga menjadi murah berbanding buatan tempatan.

“Walaupun jika dilihat sekali imbas seakan-akan sama dengan produk tempatan, namun kehalusan serta kecantikan tidak boleh mengalahkan samping tempatan,” katanya.

Peniaga samping Jalan TAR Ismail Faruki, 40, dari Cheras berkata, kedainya hanya menjual 20 samping tempatan berbanding tahun lalu yang mencecah lebih 80 untuk musim perayaan.

“Saya tidak berani mengambil banyak stok samping kerana bimbang tidak terjual dan akhirnya menanggung kerugian berikutan permintaan berkurangan.

“Tahun ini saya memberi tumpuan kepada penjualan samping dari India kerana harganya lebih murah manakala kualiti serta permintaan juga memuaskan,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post