Isu Search bakal disaman RM1.5 juta: “Belum konsert, duit dah ambil. Belum konsert, dah potong nama orang. rasakan!” – Yazit

Yazit Ahmad ketika mengadakan sidang media berhubung konflik di antara beliau dengan anggota kumpulan Search di Kuala Lumpur, 12 Mei 2016. — Foto-foto oleh Yusof Mat Isa

Yazit Ahmad ketika mengadakan sidang media berhubung konflik di antara beliau dengan anggota kumpulan Search di Kuala Lumpur, 12 Mei 2016. — Foto-foto oleh Yusof Mat Isa

Pemain dram Search, Yazit Ahmad, tidak mahu bertanggungjawab sekiranya penganjur konsert AFJets Sdn Bhd menyaman kumpulan rock tersohor itu.

Yazit, 55, berkata dirinya sudah dipinggirkan sejak awal dan AFJets sendiri mengesahkan empat ahli lain Search sahaja yang akan disaman jika tuntutan itu diteruskan.

“[Saman] itu keputusan AFJets. Saya tidak campur sebab dari awal lagi saya sudah diketepikan. Jadi saya tidak tahu macam mana,” katanya ketika dihubungi ProjekMMO hari ini.

“Saya sudah telefon AFJets, mereka kata saya tidak ada masalah. Masalahnya hanya pada empat yang lain sebab mereka yang tandatangan cek dan perjanjian persefahaman (MOU).”

Selain Yazit, Search dianggotai vokalis Amy, pemain bes Nasir, pemain gitar Nordin dan Kid, juga pemain gitar.

AFJets semalam memberi Search tempoh 14 hari untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi RM1.5 juta selepas konsert 35 tahun kumpulan rock itu dibatalkan bulan lepas.

Ketua pegawai eksekutifnya Amrul Nizar Anuar berkata kumpulan rock legenda itu juga melanggar MOU selepas membatalkan konsert “secara tidak sah.”

Dalam sidang media Search pada 20 Mei 2016, Nasir (kanan) mendakwa AFJets mencari alasan untuk tidak meneruskan konsert. Di sisinya peguam Yusmadi Yusoff, Amy dan Nordin.

Dalam sidang media Search pada 20 Mei 2016, Nasir (kanan) mendakwa AFJets mencari alasan untuk tidak meneruskan konsert. Di sisinya peguam Yusmadi Yusoff, Amy dan Nordin.

Jika Search gagal membayar ganti rugi dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan, tindakan saman akan diambil, kata syarikat sewaan pesawat itu yang bertindak sebagai penganjur.

Bercakap kepada ProjekMMO, Yazit berkata AFJets wajar mengambil tindakan itu kerana ahli kumpulan Search tidak profesional.

Katanya, AFJets tiada pilihan untuk mengambil tindakan saman kerana sudah berbelanja besar walaupun konsert belum diadakan.

“Membatalkan konsert itu sesuatu yang tidak profesional. Mereka ikutkan hati mereka sangat. Sekarang mereka rasalah.

“Kalau mereka [Search] cerita [AFJet] tidak profesional, ketuk kepala mereka sendiri tanya mereka sendiri profesional atau tidak?

“Belum konsert, duit sudah ambil. Belum konsert, sudah potong nama orang. Mereka sudah pun tunjukkan sikap tidak profesional,” kata Yazit lagi.

Pemain dram itu membuat aduan polis awal Mei, menuduh ahli-ahli kumpulannya pecah amanah berhubung wang pendahuluan konsert yang dijadual diadakan Ogos ini.

Search bagaimanapun menafi tuduhan tersebut dan mengancam mengambil tindakan pada Yazit.

Pertengkaran terbuka antara dua pihak ini dilaporkan menyebabkan AFJets tawar hati untuk terus menganjurkan konsert tersebut, yang dijadual di litar Sepang.

Pada 20 Mei, Nasir pula mendakwa AFJets sengaja menjadikan isu MOU dan pertikaian mereka dengan Yazit sebagai alasan untuk tidak meneruskan konsert itu.

Dalam sidang media pembatalan konsert itu, kata Nasir lagi, AFJets sudah bertemu sendiri dengan Yazit, maka isu sedia ada lebih mudah untuk dimanipulasi.

Amrul dalam sidang media semalam menafikan dakwaan Search dan menyifatkan apa yang dilemparkan tidak benar dan fitnah.

Search dan peguamnya Yusmadi Yusoff masih gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

 

Sumber: Projek MMO

Post a Comment

Previous Post Next Post