“Masa Tun nak berhenti, semua nangis macam beruk. Sekarang semua pakat serang. Di mana nanti makam Tun Mahathir?” – Ibrahim Ali

Pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan Datuk Ibrahim Ali terfikir di manakah nanti jasad mantan perdana menteri ini disemadikan.

Puas dikecam, di mana makam Dr Mahathir, soal Ibrahim Ali

Puas dikecam, di mana makam Dr Mahathir, soal Ibrahim Ali

“Di mana kita hendak kebumikan beliau? Adakah di Makam Pahlawan? Sedangkan hari ini beliau dimaki hamun, diejek dan dibenci,” kata presiden Perkasa.

Makam Pahlawan sebuah perkuburan khas yang dibina pada 1965 untuk tokoh-tokoh politik utama negara yang terletak di sisi Masjid Negara di sini.

Tun Dr Ismail Abdul Rahman pemimpin pertama disemadikan di sini pada 1973. Negarawan lain yang disemadikan termasuklah Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Ghafar Baba.

Ibrahim mempersoalkan mengapa pihak tertentu mengkritik Dr Mahathir seakan-akan melupakan jasa negarawan itu sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

“Keburukan kita orang Melayu, suka memuja pemimpin yang berkuasa. Apabila tiada kuasa, saya lihat Tun Ghafar Baba dulu, [saya] menitis air mata.

“Sama juga seperti Tun Mahathir, masa Tun hendak berhenti dulu, semua menangis macam beruk saya tengok.

“Lepas 13 tahun [bersara] beliau sudah bukan hero ke? Timbul masalah dalam negara seperti yang kita tahu, semua pakat menyerangnya, seperti tidak ada kebaikan yang Tun buat untuk negara selama ini.

“Inilah budaya Melayu. Macam Tun Ghafar, bawa diri dua, tiga tahun tapi apabila dia meninggal, boleh pula dikebumi di Makam Pahlawan. Saya ingat hendak dikebumi di belakang rumah saya,” katanya, berseloroh.

Ibrahim mengkritik serangan politik terhadap Dr Mahathir, yang kini meninggalkan Umno dan melancarkan gerakan anti-Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap di majlis pelancaran buku biografinya Perjuangan Tanpa Noktah.

Buku pemimpin politik penuh warna dari Kelantan itu dalam edisi Inggeris The Misunderstood Man dan Melayu dirasmikan oleh Dr Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohamad Ali di sini semalam.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan apakah liputan yang akan diberi media di saat Dr Mahathir menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, sudah tiba masa budaya Islam dikembalikan seperti hormat-menghormati, terutamanya kepada Dr Mahathir yang banyak menyumbang jasa.

“Semua sebut keburukan Tun. Saya hendak tanya, apabila Tun tidak ada nanti, apa surat khabar dan TV hendak lapor, hilangnya tokoh negara?

“Kita kena kembali pada budaya Islam, hormat menghormati satu sama lain. Apatah lagi kepada Tun, tokoh yang banyak berjasa pada negara,” katanya yang disambut sokongan hadirin.

 

Sumber: Projek MMO

Post a Comment

Previous Post Next Post