Ia umpama cerita sains fiksyen namun itu yang berlaku kepada seorang lelaki, Bill Singleton, 68, apabila mukanya terbelah dua akibat terkena gergaji hinggakan dia terpaksa mengikat mukanya itu sebelum memandu kereta ke hospital.
Kejadian ngeri pada 6 Mei lalu itu berlaku ketika Bill sedang memotong kayu apabila secara tiba-tiba gergaji itu terkena batang pokok yang besar dan melantun ke mukanya di Barat Melbourne.
Bill juga mengambil keputusan untuk memandu sendiri ke hospital berhampiran kerana dia tidak boleh menghubungi ambulans disebabkan gergaji itu turut menghiris lidahnya.
Dalam keadaan berlumuran darah itu, doktor terpaksa menjahit mukanya dari bahagian leher hingga ke rahang. Sementara x-ray di kepalanya menunjukkan lubang besar di bahagian muka.
Ketika menceritakan penderitaannya menahan sakit itu, Bill berkata, dia hampir pengsan ketika memberhentikan kenderaan di parkir hospital.
“Apa yang saya rasa dan dengar ialah bunyi retak di bahagian rahang bawah.
“Saya hampir dua pertiga perjalanan ke hospital ketika kepala saya berpusing-pusing dan keadaan nampak seperti gelap,” katanya kepada Channel 7.
Dia bernasib baik apabila petugas hospital melihat keadaannya dan terus membawanya masuk untuk rawatan kecemasan.
Doktor memberitahunya, nasib baik gergaji itu tidak terkena arteri karotid.
“Dia seperti seseorang orang yang terkena luka akibat tembakan. Ia membelah seluruh bahagian mukanya,” kata pakar bedah, Professor Nastri.
Bill kini dibenarkan pulang untuk berehat dan menjalani proses pemulihan di rumahnya.
Sumber: Mynewshub