“Nama saja Serambi Mekah tapi banyak maksiat, sebab tu PAS nak buat hudud” – Nazri Aziz

Orang Kelantan tidak takut hukuman jenayah syariah sedia ada sehingga kerajaan negeri ingin mengetatkan lagi undang-undang tersebut, dakwa Datuk Seri Nazri Aziz. ― Paparan skrin Google

Orang Kelantan tidak takut hukuman jenayah syariah sedia ada sehingga kerajaan negeri ingin mengetatkan lagi undang-undang tersebut, dakwa Datuk Seri Nazri Aziz. ― Paparan skrin Google

Kelantan beria-ia mahu melaksanakan hukuman syariah kerana penduduk negeri itu tidak gentar dengan hukuman sedia ada, dakwa Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri pelancongan dan kebudayaan berkata mereka berbeza daripada penduduk di negeri-negeri lain seperti di Selangor yang lebih taat kepada ajaran Islam.

“Kelantan (digelar) Serambi Mekah (tetapi) berlaku banyak (maksiat), sebab itu (PAS) hendak buat (undang-undang syariah).

“Orang Kelantan kena denda RM5,000 mereka tidak takut, tetap hendak buat (kesalahan) juga.

“Kenakan (penjara) lima tahun pun tidak takut, sebat enam kali lagi tidak takut,” katanya di Sungai Besar seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan rang undang-undang persendirian presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang ingin menambah kuasa mahkamah syariah.

Abdul Hadi, ahli parlimen Marang, minggu lalu membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan akan datang di bawah peraturan mesyuarat 15 (5).

Usul itu, yang selalu dikaitkan dengan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan, disenaraikan dua kali dalam aturan mesyuarat sebelumnya, namun hanya dapat dibentangkan 26 Mei.

Namun Abdul Hadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang meminta rang undang-undang itu dipercepatkan, menafikan usul pindaan itu ke arah pelaksanaan hudud.

ProjekMMO sedang mendapatkan reaksi pemimpin Kelantan berhubung dakwaan menteri ini.

 

Sumber: Projek MMO

Post a Comment

Previous Post Next Post