Pernah Diugut Bunuh Bekas Majikan Teman Wanita


KUALA LUMPUR - Skandal cinta dipercayai menjadi punca seorang pengurus sebuah syarikat diserang hendap dua pembunuh upahan yang melepaskan enam tembakan ke arahnya.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi semalam, mangsa berusia 40 tahun itu dianggap 'kebal' apabila masih mampu berjalan walaupun ditembak bertalu-talu dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.

Kejadian berlaku di Kilometer 3.5, Jalan Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Desa Petaling di sini ketika mangsa memandu berseorangan untuk ke tempat kerjanya di Bandar Sri Damansara, Selangor, dari rumahnya di Desa Petaling.

Mangsa yang memandu kereta Nissan Teana mendakwa, suspek melepaskan empat das tembakan dari arah kanan kereta. Tidak cukup dengan itu, suspek mencelah ke sebelah kiri kenderaan pula sebelum melepaskan dua lagi tembakan mengenai pintu hadapan sebelah kiri sebelum melarikan diri.

Sumber polis memberitahu, siasatan awal mendapati dua suspek itu menaiki motosikal Suzuki RG Sport dan dipercayai pembunuh upahan profesional.

"Mangsa tiada rekod jenayah, namun siasatan kami mendapati mangsa pernah membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh daripada bekas majikan teman wanitanya yang berusia 38 tahun," katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati teman wanita mangsa juga dalam proses bercerai.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, berikutan itu mangsa cedera parah selepas terkena lima daripada enam das tembakan yang disasarkan ke arahnya.

"Dua tembakan mengenai lengan kanan, dua pada leher kanan dan satu di dada. Bagaimanapun satu lagi tembakan tidak mengenai mangsa," katanya.

Biarpun lima das tembakan hinggap ke tubuhnya, mangsa masih mampu berdiri dan berjalan sebelum dibantu orang ramai yang berhenti di tepi lebuh raya bagi memberikan bantuan kecemasan.

Amar Singh berkata, pihaknya turut menemui lima kelongsong peluru 'Thai Arm' di lokasi kejadian.

"Pihak forensik masih menjalankan siasatan berhubung jenis pistol digunakan suspek. Motif sebenar kejadian masih lagi disiasat dan kami juga sedang kenal pasti identiti penembak itu," katanya.

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post