Sedap, pantas dan menjimatkan masa menjadi antara faktor utama semakin ramai masyarakat memilih untuk menempah makanan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan terus ke rumah atau pejabat mereka.
Masyarakat terutama umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan ini juga tidak terlepas untuk menggunakan perkhidmatan ini yang menawarkan pelbagai pilihan makanan untuk berbuka dan bersahur.
Bagi pekerja swasta, Zanariah Zain, 26, beliau memilih penghantaran makanan ke pejabatnya kerana lebih selesa untuk tidak berasak-asak membeli makanan di bazar Ramadan.
“Perkhidmatan ini ternyata menyenangkan saya kerana saya boleh memilih pelbagai makanan menyelerakan menerusi pakej yang disediakan.
“Selalunya makanan yang ditempah melalui konsep ini tidak menghampakan dan saya berpuas hati kerana makanannya sedap,” katanya.
Zanariah berkata membeli makanan menerusi perkhidmatan ini juga dapat mengelaknya daripada membazir wang kerana makanan yang ditempah dijual pada harga yang berpatutan.
“Jika saya berpeluang ke bazar Ramadan, saya akan mula rambang mata dan akhirnya saya akan membeli banyak makanan termasuk pelbagai kuih-muih,” jelasnya.
Bagi penjawat awam, Yasmin Zukiman, 28, penghantaran makanan ke rumah menjadi trend kepada isteri yang berkerjaya seperti beliau kerana ia mudah dan cepat untuk dihidangkan kepada keluarga.
“Saya mempunyai anak kecil dan kerap bekerja pada syif malam sekali gus mempunyai kekangan masa untuk memasak dan menjadi faktor utama saya memilih perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah,” katanya.
Lain pula bagi Afiq Asri, 21, yang terlalu sibuk dengan minggu ulang kaji di universitinya ketika ini turut membuatkan beliau memilih untuk menempah makanan menerusi perkhidmatan tersebut.
“Masa yang ada banyak digunakan untuk mengulang kaji pelajaran dan saya tak sempat untuk singgah ke bazar Ramadan yang agak jauh dari hostel dan perkhidmatan penghantaran ini sangat praktikal dalam situasi ini.
“Makanan yang saya tempah seperti nasi ayam goreng kunyit, nasi ayam percik dan ‘golden chicken chop’ bukan sahaja sedap, malah murah dan pelajar seperti saya mampu untuk membelinya,” katanya.
Flyingfood Delivery merupakan antara perkhidmatan penghantaran makanan yang bersedia membantu golongan berkerjaya khususnya wanita yang tidak sempat menyediakan makanan berbuka dan bersahur di rumah.
Pengasasnya Amreena Rasyada Idris, 30, berkata perkhidmatan yang disediakan adalah penghantaran makanan masakan ala Melayu dan Barat.
“Kami menyediakan penghantaran berbuka puasa dari jam 3 petang hingga 5 petang, manakala bagi penghantaran bersahur dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.
Menurutnya, antara menu penambat selera yang disediakan ialah nasi ayam goreng kunyit, nasi daging goreng kunyit, nasi sotong goreng kunyit, nasi ayam percik dan nasi ikan bakar.
Amreena berkata makanan ala Barat juga menjadi pilihan pelanggan di Flyingfood Delivery seperti golden chicken chop, blackpepper beef steak, grilled salmon, spaghetti meatball serta fish and chips.
“Harga masakan ini bermula dari RM6 sehingga RM10. Alhamdulillah, harga yang ditawarkan berpatutan,” katanya.
Beliau berkata menerusi laman sosial Instagram dengan kata carian Flyingfooddelivery, pelanggan boleh membuat tempahan sehingga 12 tengah hari pada hari yang sama sebelum penghantaran dilakukan di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Dengkil.
“Purata tempahan yang diterima adalah 80 pek pada setiap hari. Saya akan memasak bermula jam 1 tengah hari hingga 3 petang untuk masakan berbuka, manakala bagi masakan bersahur akan dimasak mulai jam 8 malam,” katanya.
Bagi Musang Atan Pulut Co pula, kepakaran pemiliknya, Nur Wahida Freezailah, 32, memasak pulut durian dan pulut mangga menjadikan kedua-dua makanan pencuci mulut ini turut mendapat tempahan pada bulan Ramadan.
“Walaupun sekarang bulan puasa, saya masih menerima tempahan kira-kira 100 peket sehari untuk kedua-dua masakan tradisi ini yang resepinya saya pelajari daripada nenek di kampung.
“Tempahan selalunya diterima oleh penggemar buah durian dan mangga dan juga mereka yang menempah untuk dihidangkan pada majlis berbuka puasa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Pulut durian dan pulut mangga masing-masing dijual pada harga RM15 dan RM8 sepeket, manakala pulut kuah durian pada harga RM8 sepeket dan pulut kuah durian “special” pada harga RM18 sepeket.
“Kami membuat penghantaran setiap hari, meliputi kawasan Lembah Klang, Putrajaya, Shah Alam dan Bangi,” katanya. — Bernama
Sumber: Projek MMO