Terperdaya janji manis Tracy Chang, lelaki rugi RM26 ribu

Seorang jurujual rugi lebih RM26,000 selepas terpedaya dengan janji manis seorang wanita yang dikenalinya di laman sosial Facebook kira-kira tiga minggu lalu.

Terperdaya janji manis Tracy Chang

Terperdaya janji manis Tracy Chang

Terperdaya janji manis Tracy Chang

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 37, berkata, dia mula berkenalan dengan wanita terbabit pada 1 Jun lalu.

Menurutnya, wanita menggunakan nama Tracy Chang itu mendakwa tinggal di England dan mempunyai banyak wang hasil peninggalan perniagaan hartanah diusahakan mendiang keluarganya.

“Wanita itu berjaya meraih simpati apabila menceritakan masalah rumah tangga dihadapi kepada saya dan berhasrat untuk melabur serta memulakan hidup baru di Malaysia. Pada masa sama, dia (wanita) itu mahu mengeluarkan sejumlah USD650,000 untuk diberikan kepada saya dan disimpan sehingga dia datang ke negara ini.

“Saya mempercayainya apabila dia berjaya meyakinkan saya dengan menghantar gambar resit peti simpanan sebagai bukti wang dalam perjalanan ke sini,” katanya.

Dia ditemui pada sidang media di Wisma DAP Perak, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP Perak, Steven Chaw Kam Foon.

Bagaimanapun, Lee berkata, pada 20 Jun lalu, seorang wanita mendakwa pegawai kastam menelefon dan memintanya untuk membayar RM9,850 kononnya sebagai wang yuran pengendalian.

“Selepas menerima panggilan itu, saya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun yang dimaklumkan. Kemudian, sekali lagi saya menerima panggilan telefon dari wanita sama menyuruh saya membayar RM16,780.

“Kali ini wang itu didakwa untuk mendapatkan sijil anti-pengganas bagi memastikan wang yang bakal diterima adalah untuk tujuan kegunaan sendiri. Saya pun terus memasukkan wang tersebut pada hari yang sama,” katanya.

Katanya, selepas memasukkan RM26,630 ke dalam akaun bank yang dimaklumkan, wanita berkenaan memberitahu wang USD650,000 akan disampaikan oleh orang tengah pada keesokannya.

“Namun, sangkaan saya meleset. Pada jam 11 pagi, 21 Jun lalu, orang tengah itu menelefon dan memaklumkan tidak dapat ke rumah untuk menghantar wang tersebut.

“Sebaliknya, meminta RM23,890 bertujuan supaya wang tersebut melepasi sekatan kastam,” katanya.

Lee berkata, pada ketika itu dia baru menyedari diperdaya dan segera ke pejabat DAP Perak untuk mendapatkan bantuan dan membuat laporan polis pada hari yang sama.

Sementara itu, Kam Foon menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna Facebook supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis orang yang baru dikenali di laman sosial berkenaan.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post