Kedatangan legenda tinju dunia Muhammad Ali ke negara ini pada tahun 1975 masih menjadi tanda tanya.
Malah ada pihak yang mendakwa kedatangan Allahyarham bertujuan untuk mengislamkan salah seorang isterinya berikutan penyebaran gambarnya bersama wanita tersebut di Rumah Sabah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang turut dihadiri beberapa orang saksi.
Wanita tersebut yang belum dikenali identitinya dipercayai telah diislamkan oleh tokoh agama Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Titingan.
Gambar berkenaan menunjukkan wanita itu mengangkat jari telunjuk sambil disaksikan oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman bersama Ketua Menteri Sabah yang pertama Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun.
Terdapat juga dakwaan bahawa gambar tersebut merupakan majlis perkahwinan Muhammad Ali bersama isterinya itu, namun tiada pihak yang dapat mengesahkannya.
Turut berada di dalam gambar tersebut adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Abdul Hamid Egoh.
Abdul Hamid yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan pertemuan itu diadakan di Rumah Sabah, tetapi tidak mengetahui tujuannya.
Beliau bagaimanapun mengesahkan Muhammad Ali dan pengurusnya telah datang ke Sabah pada tahun 1975 selepas menerima undangan Tun Mustapha.
Menurut Abdul Hamid, beliau yang pada waktu itu menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pertahanan Sabah telah diamanahkan oleh Tun Mustapha untuk menunggu seterusnya mengiringi Muhammad Ali ke kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah itu.
“Muhammad Ali bersama pengurusnya yang terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu menggunakan pesawat peribadi jenis Grumman milik Tun Mustapha.
“Itu merupakan kenangan manis saya bersama legenda tinju dunia itu ketika beliau datang ke negeri ini. Saya merupakan individu yang bertanggungjawab menjemput, menghantar dan mengiringi Allahyarham pulang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Abdul Hamid menyifatkan legenda tinju yang lahir di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat itu memiliki sifat merendah diri dan berperwatakan menarik walaupun tidak banyak bercakap.
“Sepanjang bertemu dengan Allahyarham beberapa kali termasuk di Rumah Sabah, Muhammad Ali seorang yang baik dan merendah diri selain tidak banyak bercakap,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tinju Sabah, Datuk Orlando Harumal berkata, Muhammad Ali merupakan seorang legenda yang amat berpengaruh dalam arena sukan tinju.
Katanya, ketika lawatan ke Sabah, Muhammad Ali seakan-akan teruja untuk mengetahui apa yang boleh ‘dihidangkan’ oleh negeri ini sempena lawatan pertama beliau.
“Banyak yang ditanya oleh Muhammad Ali, ketika saya yang merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab menguruskan lawatannya ke Sabah, antaranya bagaimana dengan penduduk, kebudayaan dan makanan di negeri ini,” ujar beliau.
Sumber: Utusan Online