Vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani mengakui merindui kemeriahan sambutan bulan Ramadan ketika mendapatkan rawatan pemulihan dadah di Rumah Pengasih pada tahun lalu.
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 45, berkata, dia terkenangkan saat-saat penghuni pusat pemulihan itu bersama-sama berbuka puasa, berterawih selain melakukan aktiviti keagamaan lain.
“Sudah lama saya tidak merasai keindahan dan kemeriahan Ramadan dalam erti sebenarnya dan pengalaman menyambut bulan puasa di sana banyak memberi saya kenangan manis.
“Kami lakukan semua aktiviti yang diaturkan bersama-sama dan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah dan terawih.
“Apabila saya sudah keluar dari sana, sambutan Ramadan tahun ini membuatkan saya terkenang suasana di Rumah Pengasih,” katanya kepada mStar Online.
Zamani berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media Iftar Akustika Zamani & Mawi yang diadakan di Restoran Istana Bambu di sini, Khamis.
Program berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Jun ini.
Dalam pada itu, Zamani berkata, dia juga merancang untuk meluangkan masa bersama penghuni-penghuni pusat pemulihan berkenaan dalam sebuah majlis berbuka puasa dalam masa terdekat ini.
Ditanya mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Zamani berkata, dia besederhana selain cuba mengisi waktunya dengan amal ibadah walaupun sibuk dengan aktiviti seni.
“Jujurnya saya belum sempat melakukan solat terawih di masjid tetapi akan cuba mencari peluang untuk berbuat demikian.
“Tetapi Alhamdulillah puasa tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya dan pengalaman di Rumah Pengasih banyak mendisiplinkan saya,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai Iftar Akustika Zamani & Mawi, Zamani berkata, dia teruja dipilih oleh pihak penganjur untuk menjayakan program berkenaan kerana jarang terlibat dalam persembahan pada bulan puasa.
Malah kata Zamani, tujuan program berkenaan diadakan untuk mengutip sumbangan bagi diserahkan kepada golongan kurang bernasib baik dilihatnya sebagai perkara cukup baik.
“Sebahagian daripada hasil jualan meja pada hari itu nanti akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim, persatuan ibu tunggal dan orang tua membuatkan saya tertarik menjayakan program ini.
“Sekurang-kurangnya ia dapat menambahkan pahala pada bulan baik ini selain dapat berbuka puasa dan solat berjemaah,” jelasnya.
Dia juga bakal membuat persembahan secara akustik menerusi beberapa buah lagu popularnya termasuk dua lagu kerohanian bersesuaian dengan bulan Ramadan.
“Selain berhibur inilah masanya peminat, syarikat korporat serta sektor kerajaan dapat mengeratkan lagi silaturahim selain beramal jariah dan Insya-Allah saya akan adakan persembahan akustik istimewa buat semua pengunjung,” katanya.
Sebanyak 150 juadah bakal disediakan berkonsepkan tradisi warisan budaya daripada chef PICC dan bagi yang ingin membuat tempahan boleh melayari http://ift.tt/1UGlriB dengan harga serendah RM200.
Pengunjung juga bakal menerima hadiah istimewa iaitu minyak wangi eksklusif Zamani.
Sumber: MStar