Seorang banduan yang dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh dan merogol pelajar sekolah, melarikan diri dari penjara di sini dengan menyamar sebagai perempuan.
Ketika melarikan diri, Anwar Kim An memakai baju batik, bertudung dan bergincu serta berkaca mata hitam dilihat keluar dari penjara Rutan Selemba pada Hari Raya lalu. Pakaian berkenaan diseludup masuk isterinya ketika membuat lawatan sempena Aidilfitri.
“Anwar menukar pakaian perempuan itu dalam bilik yang semua banduan bertemu anggota keluarga.
“Dia memakai gincu dan memakai cermin mata hitam sebelum keluar dari penjara ditemani isteri dan dua anaknya,” kata jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono.
Rakaman CCTV penjara yang disiarkan media menunjukkan Anwar memakai baju perempuan berjalan keluar dari penjara sambil mendukung seorang anaknya.
Menurut media Indonesia, ketika kejadian, hanya 27 pengawal bertugas mengawasi 4,500 pelawat di penjara berkenaan.
Awi berkata, Anwar menukar pakaian wanita tanpa disedari sesiapa kerana bilik lawatan itu penuh dengan keluarga banduan dan hanya dikawal beberapa pengawal dan pemeriksaan keselamatan hanya terhadap pelawat lelaki.
“Isteri Anwar disoal siasat kerana membantu suaminya melarikan diri namun tidak ditahan kerana mempunyai anak masih kecil,” jelasnya.
Polis kini melancarkan operasi memburu banduan itu yang baru empat bulan menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Anwar didapati bersalah pada Oktober lalu, kerana merogol dan membunuh pelajar perempuan berusia 12 tahun.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW