Jerteh: Polis menggali semula kubur bayi di Tanah Perkuburan Islam di sini, petang semalam, bagi membantu siasatan kes pelajar kolej swasta menyembunyikan kelahiran dan kematian anaknya.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya membuat permohonan kepada Majistret Besut untuk menggali semula kubur berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu dibuat untuk siasatan lanjut selepas menerima maklumat daripada pihak hospital mengenai seorang pelajar kolej swasta berusia 21 tahun mendapatkan rawatan kelahiran di Hospital Besut, malam kelmarin.
Katanya, pihak hospital curiga apabila pelajar berkenaan mempunyai kesan baru melahirkan anak tetapi bayinya tidak dirujuk bersama.
“Pelajar berkenaan mendakwa bayi itu sudah meninggal dunia dan dikebumikan ahli keluarganya.
“Berikutan itu, kami terpaksa menggali semula kubur berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber : Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW