Demi menjaga hati isteri kedua, ketua pemuda Umno bahagian Indera Mahkota, Pahang memuat gambar dicium kedua-dua isterinya di Facebook awal minggu ini.
Muhammad Faiz Hashim berkata gambar yang diambil ketika satu Syawal itu turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-15 bersama isteri pertama Norfadhilah Syed Mohd Idris, 35.
“Tujuan saya memuat naik gambar kedua-dua isteri dan anak bukan mahu mencari publisiti tetapi hanya untuk menggambarkan betapa indahnya hikmah dan nikmat berpoligami secara harmoni.
“Tidak adil sekiranya saya mengambil gambar hanya bersama isteri pertama sedangkan hakikatnya saya masih mempunyai seorang lagi isteri Nik Noor Syuhada Kamarudin, 30, yang perlu dijaga hatinya.
“Disebabkan itu saya memuat naik gambar dicium dua isteri bersama anak-anak bagi menunjukkan keharmonian rumah tangga kami,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Faiz, 35, berkata gambar yang dimuat naik itu bagi menunjukkan kepada rakan Facebook indahnya hidup bermadu dan bukan sesuatu yang menakutkan.
Katanya, kedua-dua isteri yang bermaaf-maafan pada pagi Syawal lalu turut mengundang kegembiraan dalam keluarganya.
“Kedua-dua isteri memang rapat dan saya sangat bersyukur kerana mereka juga saling menjaga antara satu sama lain.
“Kami juga selalu meluangkan masa bersama lapan anak berusia setahun hingga 13 tahun dan ini menambahkan lagi ikatan kekeluargaan antara kami,” beliau dilaporkan berkata.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW