“Kami hanya sayang ayah, kami tak nak jumpa mama, sampai hati dia tinggalkan kami bersama ayah yang sedang sakit”

“Terima kasih ayah kerana jaga kami empat beradik dan maafkan salah silap yang kami buat pada ayah,” kata kanak-kanak berusia 11 tahun ini.

Anak kedua kepada Mohd, 49, (bukan nama sebenar) itu berkata, dia kini hanya mempunyai ayah selepas ibunya menghilangkan diri sejak lebih empat tahun lalu.

‘Kami tak nak jumpa mama’

‘Kami tak nak jumpa mama’

“Kami cuma ada ayah dan kami hanya sayang ayah kerana mama dah tinggalkan kami. Kami tak nak jumpa mama kerana dia sampai hati tinggalkan kami bersama ayah yang sedang sakit,” katanya.

Sementara itu, Mohd berkata, dia reda dengan takdir yang tersurat dan perlu membesarkan empat anak berusia 12, 11, 10 serta 6 tahun tanpa isteri di sisi, walaupun tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

Menurutnya, dia tidak tahu apa dosa anak-anaknya sehingga isterinya bukan sahaja tergamak meninggalkan mereka, malah langsung tidak datang menjenguk sejak meninggalkan mereka lebih empat tahun lalu.

“Sudah empat kali hari raya anak-anak beraya tanpa mama mereka, malah anak bongsu yang ditinggalkan ketika itu masih menyusu botol langsung tak kenal mamanya.

“Saya pernah merajuk bawa beg pakaian nak tinggalkan mereka kerana masing-masing bergaduh tak dengar cakap, tapi reaksi mereka buat saya sebak apabila semuanya datang memeluk erat saya,” katanya sebak.

Mohd berkata, dia berdepan masalah untuk mendapatkan sijil lahir buat tiga anaknya, sekali gus menyebabkan mereka tidak berpeluang bersekolah.

“Setiap hari anak-anak merengek minta ke sekolah kerana lihat abang dan rakan lain beruniform sekolah. Saya tak mampu buat apa-apa kerana telah berusaha untuk dapatkan sijil lahir mereka, namun permohonan ditolak dengan alasan perlu kehadiran isteri.

“Anak sulung seorang saja yang bersekolah kerana dia mempunyai sijil lahir yang diproses ketika mamanya masih ada,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya ketika dihubungi Sinar Harian berkata, bapa kanak-kanak terbabit diminta ke JPN berhampiran untuk mengenal pasti masalah sebenar permohonannya ditolak.

“Sekiranya dokumen lengkap, pendaftaran kelahiran anak-anak berkenaan sudah boleh diproses walaupun tanpa kehadiran ibu, kecuali ada masalah lain,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post