WALAUPUN banyak kisah yang tidak enak didengar daripada pemetik buah di Australia akibat ditipu ejen dan kontraktor ladang, namun ada yang berjaya mendapat pendapatan lumayan seperti diimpikan.

Baca artikel sebelum: Perangkap janji palsu petik epal di Australia

Hasil pencarian kami, ada beberapa individu yang tidak ditipu, malah seronok bekerja di sana.

Walaupun diberi tempat penginapan ala kadar sahaja, namun ia tidak menghalang pekerja petik buah ini dari terus tinggal berbulan-bulan.

Malah dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan mudah dan berjaya meraih pendapatan lumayan seperti diimpikan.

Ada di antara mereka jatuh cinta kepada negara tersebut dan membuat keputusan untuk terus menetap di sana.

Dek kerana itu, apabila mendengar dan terbaca kisah-kisah rakyat dari Malaysia yang ditipu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pemetik buah, rasa simpati kepada mereka begitu terserlah.

Kata mereka, ejen yang suka menipu memang ramai. Mereka tidak mengenal siapa. Ada yang terpedaya sampai ribuan ringgit, malah ada yang sampai menjadi pendatang asing tanpa izin (Pati), di sana.

Bersama Sinar Harian, kita ikuti kisah mereka yang berjaya menjadi pemetik buah dengan cara yang betul.

Ia tidak lah sesukar mana. Yang penting anda hanya perlu mengkaji, membaca, dan membuat rujukan dan bertanya di tempat yang betul!

Mahu ke Australia lagi walau pernah ditipu

“LAIN yang dijanjikan lain yang dapat…” demikian kata seorang pekerja ladang buah secara haram di Australia yang mahu dikenali Azim, 30.

Azim, seorang jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas mengambil keputusan berhenti kerja kerana mendapati kerja di Australia memberikan pulangan lumayan walaupun sebagai pemetik buah.

Ketika berurusan dengan seorang ejen di Malaysia, dia dijanjikan dengan gaji yang lumayan selain tempat tinggal percuma selama seminggu.

Untuk pakej tersebut, dia perlu membayar RM3,500 bagi menampung perbelanjaan tiket, visa dan tempat tinggal.

Selepas membayar segala keperluan, dengan berbekalkan wang saku RM4,000, dia menjejakkan kaki ke Melbourne pada 2 September tahun lalu.

Setibanya di Melbourne, dia perlu menghubungi ejen lain bagi menguruskan penempatan dan kerja di ladang.

Bagaimanapun, ketika itu dia bersama tujuh individu lain dari Malaysia menyedari tembelang ejen dari Malaysia mula terbongkar.

“Kami perlu berjumpa dengan seorang lagi ejen warga Indonesia. Kami perlu menaiki kereta api ke Southern Cross Station. Kami terpaksa keluarkan wang sendiri bukan seperti yang dijanjikan di Malaysia,” katanya.

Selepas bertemu dengan ejen itu, mereka dibawa ke Shepparton, sebuah bandar di utara Victoria.

“Untuk penginapan di situ, kami perlu membayar AU$150 seminggu. Bukan percuma seperti yang dicanang-canangkan,” katanya.

Lebih mengejutkan selepas itu, apabila mereka mendapat tahu bahawa ketika itu bukan musim buah.

“Apabila bukan musim buah, maknanya tiada kerja. Musim buah bermula Disember hingga Julai. Kami datang bulan September. Jadi langsung tiada buah.

“Apa yang saya buat ketika di situ hanya menggali lubang dan mencangkul. AU$13 untuk sejam,” katanya.

Jelasnya, kerana tidak mempunyai kerja di ladang di situ, mereka kemudian dibawa ke sebuah lagi ladang di bandar yang sama, namun hampa walaupun terpaksa mengeluarkan wang AU$100 seminggu untuk penginapan.

Ketika di situ, mereka bertemu dengan tiga lagi individu dari Malaysia yang sudah lama berkhidmat di ladang berkenaan.

“Selepas sebulan, tanpa gaji serta kerja dijanjikan, kami bersama tiga individu baharu itu ambil keputusan bekerja di ladang anggur di Mildura.

“Nasib tidak menyebelahi kami. Selama dua minggu di sana, kami membuat kerja biasa dengan gaji yang murah kerana pokok anggur baharu mengeluarkan bunga.

“Kami juga buat kerja ‘curi-curi’ di ladang limau milik orang lain. Semuanya atas sebab tidak mahu putus duit,” katanya.

Tidak tahan dengan apa yang berlaku, kesemua mereka mengambil keputusan menyewa tiga buah kenderaan untuk bekerja di ladang di Alice Spring iaitu sebuah bandar yang terletak di utara Australia.

Sama seperti sebelum ini, kerja mereka mencantas dan membersihkan ladang. Gaji yang diterima adalah AU$30 sehari.

“Itu kalau ada kerja. Kalau tiada kerja, kami terpaksa menunggu. Sewa penginapan tetap berjalan,” katanya.

Jelasnya, dua minggu terakhir, barulah dia merasai pengalaman sebenar bekerja sebagai pengutip buah di negara berkenaan.

“Saya kutip buah anggur. Perlu rasa sendiri buah anggur itu sebelum dipetik. Hanya yang manis sahaja boleh dipetik,” katanya.

Biarpun baharu memasuki musim buah, Azim terpaksa pulang ke tanah air kerana tempoh visanya hampir tamat.

Hajat di hati ingin terus bekerja di sana tetapi atas desakan keluarga, Azim terpaksa melupakan hajatnya itu.

Mahu ke Australia lagi AZIM menjelaskan secara keseluruhannya ketika di Australia, dia merasakan tidak banyak keuntungan yang diperoleh kerana ditipu ejen.

Katanya, tanpa wang saku RM4,000 yang dibawanya, tidak mungkin dia boleh ‘selamat’ memandangkan waktu itu bukan musim buah.

Tegasnya, walaupun ditipu dan mengalami kerugian, jika diberi peluang, dia tetap mahu mencuba nasib untuk kali kedua.

“Kalau saya mahu pergi selepas ini, saya akan pergi tanpa guna ejen. Sebabnya, saya sudah tahu apa yang saya perlu lakukan. Saya juga sudah ada rakan-rakan di sana,” katanya dengan mengukir senyuman di wajah.

Ditanya adakah dia sanggup menjadi pendatang tanpa izin (Pati) di sana, dengan gelak tawa, dia menjawab; “Ya”.

Bagaimanapun katanya, dia akan tetap berusaha untuk menjadi ‘halal’ di sana.