Kekecohan di Stadium Perak pada Sabtu lalu menyebabkan penyokong skuad Bos Gaurus membuat keputusan tidak akan ke Stadium Larkin untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di antara Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.
Pengerusi Kelab Penyokong Perak, Mohd. Jamil Osman berkata keputusan itu diambil untuk mengelak berlakunya satu lagi kekecohan memandangkan suasana dalam kalangan penyokong masih ‘panas’ ketika ini.
Katanya, pihaknya menjangkakan kekecohan bakal berlaku jika penyokong Perak bertandang ke tempat lawan esok.
“Ini berdasarkan komen-komen panas penyokong JDT di Facebook. Ada (penyokong JDT) yang awal-awal lagi sudah memberikan amaran dan sememangnya menunggu kedatangan kami di Larkin esok untuk membalas dendam.
“Atas faktor keselamatan, kami membuat keputusan untuk tidak ke Stadium Larkin, biarlah keadaan reda dahulu. Kali ini biarlah kami mengalah kerana kami tak mahu bergaduh,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Jamil bagaimanapun menegaskan, jika ada penyokong yang tetap mahu ke Stadium Larkin, itu terpulang kepada mereka.
Katanya, namun jika berlaku kejadian buruk di tempat lawan, ia bukan tanggungjawab Kelab Penyokong Perak.
“Untuk perlawanan esok, setakat ini tiada penyokong yang menyewa bas untuk ke tempat lawan seperti mana kebiasaannya apabila Perak beraksi di luar,” katanya.
Menurutnya, penyokong agak kecewa kerana tidak dapat memberikan sokongan kepada pasukan mereka dalam perlawanan esok.
Namun, tegasnya, penyokong sedia berkorban untuk tidak ke Larkin bagi mengelak mereka bertembung dengan penyokong JDT.
“Penyokong berharap pemain Perak beraksi dengan baik walaupun tanpa sokongan daripada penyokong sendiri dalam aksi di tempat lawan esok,” katanya.
Sumber : Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW