Pembikin filem yang dilihat cukup kontroversi seminggu dua ini, Afldin Shauki akhirnya menyambut baik keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang telah memansuhkan kategori pengasingan bahasa bagi Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) ini.
Dalam temu bual bersama HITS, Afdlin menganggap keputusan tersebut adalah satu perubahan yang sangat diperlukan oleh penggiat filem tanah air yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan bahasa.
Hasil perbincangan Finas bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) pada Selasa lalu, bersetuju mewujudkan dua kategori filem terbaik iaitu Anugerah Filem Terbaik Nasional dan Anugerah Filem Terbaik Malaysia.
HITS mencari Afdlin untuk mendapatkan komen terkini beliau mengenai mekanisme terbaharu yang telah dipersetujui ini.
HITS: Finas wujudkan dua kategori Filem Terbaik dalam FFM 28, pandangan Afdlin?
Saya rasa tak ada masalah. Asalkan ini baik untuk industri, saya sokong penuh. Baguslah ada kategori macam tu.
Maknanya, Afdlin sudah puas hati sekarang?
Bagi saya ia adalah tindakan positif yang dilakukan oleh Finas dan FFM sendiri. Inilah perubahan yang diperlukan dalam industri filem. Sebelum ini tidak ada langsung filem terbaik Malaysia bagi pembikin filem selain orang Melayu, sekarang sudah ada.
Apakah ini boleh dianggap sebagai ini satu kemenangan untuk Afdlin, selepas episod boikot itu?
Bukan untuk saya. Ini untuk industri filem sendiri, untuk kecemerlangan industri, lebih peka kepada keadaan semasa. Kita perlu mendekatkan semua pihak dengan
keadaan semasa di Malaysia. Sebagai contoh, saya orang Melayu yang pasti akan buat filem dalam bahasa Melayu dan mengutamakan bahasa kebangsaan kita. Tetapi, orang Cina dan India pasti akan buat filem dalam bahasa mereka. Adalah pelik dan janggal, jika orang Cina atau India buat filem tetapi para pelakonnya pula bercakap bahasa Melayu dalam semua babak sebab ia sememangnya tak berlaku di Malaysia. Jadi, jikalau tiada kategori Filem Terbaik Malaysia, ke manakah filem itu nak dipertandingkan?
Selepas ini tidak akan merajuk lagi?
Kalau nak dikata merajuk tu, macam sangat drama pula. Apa pun saya sambut baik keputusan ini. Sebelum ini saya bertegas dengan protes sebab mahu industri filem kita menjadi lebih baik dan cemerlang. Bila perlu untuk berubah, kita kenalah berubah.
Afdlin tidak boikot FFM lagi, pasti?
Hahahaha! Okey, saya tak boikot lagi dah. Apapun, saya buat bukan untuk diri saya, tetapi baik untuk industri.
Apa lagi yang Afdlin rasa Finas patut buat?
Sebenarnya soal anugerah itu tak penting. Apa yang lebih penting ialah diadakan satu diskusi yang lebih besar mengenai penjualan filem. Itu benda yang lebih penting, berbanding anugerah seperti ini.
Maksudnya?
Kita perlu berbincang mengenai bagaimana penerbit filem boleh terus hidup dalam industri yang semakin mencabar ini. Kita perlu kaji bagaimana satu-satu filem itu boleh berjaya atau gagal. Kita patut adakan lebih banyak diskusi tentang kekuatan filem seperti filem Munafik misalnya. Bagaimana filem Munafik boleh jual sampai lebih RM17 juta? Sama juga dengan Ola Bola yang mencatat keuntungan yang cukup tinggi. Jika ini dapat kita buat untuk membantu penerbit filem, pembikin filem macam saya sangat berbesar hati.
Sumber: Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW