Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Koh Chin Han menuntut bukti daripada Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berhubung dakwaan beliau bahawa firma-firma Cina menindas kaum Melayu.
“Adakah Tajuddin mempunyai apa-apa bukti yang sah mengenai dakwaan beliau syarikat swasta milik Cina enggan menggajikan orang Melayu?
“Jika tidak ada sama sekali, dia hanya menyebarkan dakwaan dalam percubaan untuk memecahbelahkan orang Melayu dan Cina, yang merupakan satu perbuatan yang sangat ganas,” kata Koh yang juga seorang senator.
Koh mengulas komen Tajuddin yang dibuat ketika mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Permatang Pauh semalam.
Menurut China Press, Tajuddin, yang juga menteri pertanian dan industri asas tani menujukan isu itu kepada media berbahasa Cina.
Tajudin dilapor berkata media berbahasa Cina boleh menulis mengenai dakwaan beliau kerana tiada sesiapa berani bercakap mengenainya.
Menurut Tajuddin, syarikat-syarikat Cina atau bukan Melayu tidak akan mengambil pekerja Melayu sedangkan mereka menuduh Umno sebagai rasis, fanatik, namun mereka lebih bersikap perkauman.
Oleh itu, beliau berkata, orang Melayu tidak mempunyai pilihan tetapi beralih kepada perkhidmatan awam di mana kira-kira 1.5 juta kakitangan awam adalah kaum Melayu.
Beliau menambah orang Cina boleh memohon untuk menyertai perkhidmatan awam tetapi mereka lupa untuk memberi ruang kepada orang Melayu menyertai sektor swasta.
Tajuddin juga mempertahankan Umno terhadap tuduhan perkauman dengan menyatakan bahawa jika parti itu bersikap perkauman, masyarakat Cina tidak akan menjadi kaya seperti hari ini.
Bagaimanapun, Koh dalam satu kenyataan hari ini menuduh Tajuddin bermain isu perkauman.
“Saya agak tertanya-tanya sama ada Tajuddin tinggal dalam lingkaran berasaskan kaum dalam jangka masa yang panjang dan dengan itu menjadi seperti katak di dalam perigi, mula melihat sesuatu dengan pemikiran perkauman?
“Atau adakah Tajuddin kurang yakin dengan keupayaan orang Melayu hingga dia fikir sektor swasta mengamalkan diskriminasi terhadap Melayu?” katanya.
Koh menegaskan bahawa majikan mengambil pekerja berdasarkan kelayakan dan bukannya bangsa, dan mengecam Tajuddin kerana “bercakap karut”.
“Dalam dunia yang kompetitif hari ini, syarikat memberi lebih penekanan kepada pekerja berkemampuan, sikap, pengalaman dan prestasi masa lalu untuk kejayaan keseluruhan syarikat itu.
“Faktor-faktor seperti kaum dan agama biasanya tidak diambil kira sama sekali.
‘
“Terdapat banyak pekerja Melayu yang cerdik bekerja di sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Pensyarah kanan Universiti Malaya Lee Hwok Aun dan felo penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Muhammed Abdul Khalid dalam satu kajian 2012 mendapati graduan Cina lebih cenderung untuk dipanggil temu duga kerja dalam sektor swasta berbanding Melayu.
Kajian ini menjalankan eksperimen di mana resume palsu graduan Melayu dan Cina digunakan untuk memohon pekerjaan sebenar.
Sumber : Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW