Datuk Seri Adnan Abu mengakui cubaan untuk mengenali lebih rapat Ruhainies terbantut selepas fotonya merangkul pinggang pelakon itu tersebar di media sosial.
Usahawan hartanah itu, mesra dengan panggilan Datuk Red, berkata walau beliau menyukai Ruhainies, pertemuan bersama pelakon drama “Si Montel” itu diadakan atas tujuan kerja.
“Ruhainies ini otak berniaga. Saya suka dengan dia walaupun dia baru dalam bidang ini. Tetapi saya tidak tahu ‘toyol’ mana yang ambil gambar itu.
“Masa saya melintas dalam video itu di Star Hill, selepas mesyuarat kami ke Pavilion.
“Orang itu pergilah cari [rakam video] Katy Perry atau Brad Pitt. Ini saya yang dia pergi cari. Bagilah orang masuk jarum dulu. Masalah betul mereka ini. Kalau tidak, akan jadilah projek itu.
“Bila jadi projek itu, ikatan kasih sayang tersemailah di situ. Situasi menang-menang,” katanya yang sudah beristeri dua, dalam nada separuh berseloroh, dalam wawancara minggu lalu.
Ruhainies, nama popular Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, hangat diperkatakan bulan lalu selepas video dan fotonya bersama Adnan tersebar di media sosial.
Dalam satu foto mereka di atas eskalator, ahli perniagaan ini dilihat memeluk Ruhainies dari belakang ketika sedang menaiki tangga bergerak. Pelakon itu bagaimanapun menafikannya.
Suami penyanyi Adira, kini hamil hampir tiga bulan, mendakwa menyukai Ruhainies dan bersedia mengambil pelakon drama “Hello Mr Perfect” sebagai isteri, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun beberapa jam kemudian, Adnan berkata calon isteri ketiganya perlulah bercirikan seorang muslimah dan Ruhainies bukanlah orangnya, lapor Utusan Malaysia pula.
Bercakap kepada ProjekMMO di pejabatnya di sini, Adnan berkata video dan foto berkenaan bukanlah satu perangkap untuk menjatuhkan reputasi Ruhainies seperti didakwa.
“Minta maaf saya cakap, Ruhainies itu siapa? Saya kalau nak perangkap, saya boleh panggil Emma Maembong atau Nora Danish. Lagi meletup.
“Kalau betul saya bayar, baik saya bayar tinggi sikit,” katanya dengan nada serius.
Adnan, 38, juga diminta mengulas pengakuannya menyukai Ruhainies boleh bertukar dalam sekelip mata apabila bercakap kepada dua media sewaktu dilanda kontroversi itu, 22 Julai lalu.
Katanya, kenyataan menerusi Utusan Malaysia yang menyatakan Ruhainies bukanlah calon pilihan dilakukan demi menyelamatkan kerjaya pelakon drama “Menantu Ting Tong” itu.
“Kenyataan di Berita Harian itu kenyataan yang betul. Kenyataan di Utusan, saya kasihan dengan nasib Ruhainies, orang semua akan kecam dia. Dia baru hendak naik.
“Jadi, saya yang bukan dalam bidang itu, biarlah orang kecam saya. Sebab itu, saya alihkan kepada (ciri) muslimah. Jadi saya cuba alihkan isu itu.”
Bapa beranak lima, termasuk perkahwinan terdahulu, berkata kekayaan yang ada pada dirinya bukanlah menjadikannya “buaya darat” sebaliknya gelagat nakalnya itu bermula sejak dahulu.
Tambahnya, kecaman orang ramai tidak boleh melemahkan semangatnya tetapi akan datang hikmah pada masa akan datang.
“Mungkin orang kata, saya bila kaya, (jadi) playboy. Tidak, saya bawa lori sayur pun saya sudah playboy.
“Perempuan bukan semua yang pandang harta. Pandai bercakap, pandai melayan saja. Perempuan ini lemah (apabila) dipuji. Tidak semestinya (lelaki) ada harta,” katanya.
“Saya suka orang kecam saya. Macam hero Hindustan, kalah dahulu tetapi penghujungnya menang. Saya akan ingat siapa kecam saya.
“Tetapi penghujung nanti mereka sukakan saya. Saya hendak begitu.”
Sudah beristeri dua, Adnan menyimpan impian menggenap “kuota” empat isteri dua tahun lagi, ketika usianya 40 tahun.
“Lelaki memang tidak pernah puas. Macam perniagaan, saya tidak puas. Impian saya, saya hendak kahwin empat sebelum umur 40. Saya hendak buat versi baru (pelawak) Salih Yaacob.”
Tidak jelas merujuk pada siapa, Ruhainies baru-baru ini berkata beliau lebih rela memilih pasangan yang duda daripada merampas suami orang.
“Kalau saya ada teman lelaki pun, statusnya bukan suami orang. Saya tidak mahu ambil hak orang, tapi kalau berstatus duda saya boleh terima,” katanya kepada Kosmo!
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW