Pelawak dan penyampai radio popular, Salih Yaakob menyarankan kepada mana-mana lelaki yang mahu hidup berpoligami supaya mendalami ilmu agama terlebih dahulu.
Dalami agama baru berpoligami – Salih Yaakob
Salih, 55, berkata, walaupun berkemampuan dari segi wang ringgit, ia belum boleh menjanjikan kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.
“Kehidupan yang saya lalui ini adalah ketentuan yang sudah ditentukan Allah SWT. Begitu juga dengan pasangan lain yang melalui proses sama. Cuma, saya nak berpesan agar mendalami ilmu agama terlebih dahulu kalau mahu berpoligami.
“Jangan sekadar mempertaruhkan wang ringgit kerana itu belum mencukupi. Lagi satu jangan berlandaskan nafsu semata-mata kerana nafsu hanyalah alat saja. Bukan apa, hidup berpoligami ini tanggungjawabnya takkan berhenti.
“Banyak perkara perlu diambil kira terutama dalam mendidik isteri dan anak-anak. Semua itu bukan mudah. Saya melalui lima kali perkahwinan, jadi banyak pengalaman sudah dilalui. Dalam masa sama, setiap isteri mempunyai perangai masing-masing,” katanya.
Salih berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan suami kepada penyanyi Adira iaitu Datuk Seri Adenan Abu yang menjadikan Salih sebagai mentor dalam hidup berpoligami.
Menurut Salih, dia tidak mahu menggalak atau menghalang mana-mana lelaki yang mempunyai niat untuk berpoligami.
Dia juga tidak kisah jika ada segelintir daripada mereka menjadikannya sebagai mentor dalam perkara itu.
“Diakui memang ramai bertanya kepada saya mengenai hidup berpoligami. Jawapan saya kepada mereka adalah apa dilalui ini berdasarkan pengalaman. Jadi terpulang kepada individu itu untuk menjadikan saya mentor.
“Paling penting lengkapkan diri dengan ilmu agama dan bukannya dengan ilmu yang bukan-bukan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW