Pendakwah berasal dari Terengganu, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar mengesahkan bakal berkahwin dengan pelakon Farisha Irwayu, 47, tidak lama lagi.
“Syukur kepada Allah, kedua-dua belah keluarga sudah pun bersetuju dan memberi restu kepada niat baik kami untuk berkahwin.
Farisha Irwayu bakal kahwini ustaz
“Saya sendiri sudah bertemu dengan ahli keluarga Ayu (Farisha Irwayu). Semuanya berjalan baik yang mana kami akan bernikah selewat-lewatnya pada Disember tahun ini juga,” kata Tuan Asmawi kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Tuan Asmawi, 41, beliau dan bakal isteri sudah saling mengenali sejak tujuh tahun lalu.
Namun ketika itu, hubungan mereka sekadar saling mengenali antara satu sama lain di laman sosial dan tidak akrab.
Pada 13 Ogos lalu, bapa kepada empat anak itu yang kini dalam proses perceraian, akhirnya melamar pelakon tersebut setelah beberapa kali melakukan solat hajat untuk memohon petunjuk daripada Allah S.W.T.
“Allah membuka jalan kepada saya dalam hubungan ini. Allah menjawab doa-doa dan pertanyaan saya apakah Farisha Irwayu ini wanita yang sesuai untuk saya jadikan isteri,” katanya.
Menurut pengasas Program Imam Muda terbitan Astro Oasis itu, meskipun bakal isterinya seorang artis, beliau langsung tidak mempunyai masalah dengan status pekerjaan wanita berkenaan.
“Saya memilih Ayu bukan kerana statusnya sebagai artis. Sama dengan dia, dia sendiri memilih saya bukan kerana saya seorang ustaz atau selebriti agama.
“Saya berharap agar hubungan kami tidak menimbulkan sebarang spekulasi pihak lain kerana niat saya baik iaitu untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah,” katanya.
“Saya tertarik dengan penghijrahan Ayu. Daripada tidak bertudung, sekarang sudah bertudung dan saya melihat penghijrahannya ke arah mencari agama,” katanya.
Selain penceramah bebas, Tuan Asmawi juga penyampai suara latar profesional, konsultan produksi TV dan Radio, selain menubuhkan Pusat Perubatan Alternatif Baitulwafi.
Farisha Irwayu pula agak popular sekitar tahun 1990-an melalui drama slot Spectra terbitan HVD, seangkatan dengan nama-nama seperti Liza Abdullah, Maria Farida dan Noniswara. Beliau juga masih aktif berlakon, antaranya dalam drama Cucu Bentong, Cik Bunga Encik Sombong dan Nenek Ranggi.
Sumber: Utusan Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW