Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengaku sengaja membuat permohonan pekerjaan sebagai pelayan kafe untuk menarik minat belia terhadap bidang kerja separuh masa, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara ini.
Mukhriz: Saya pernah bergaji RM350 sebulan
Bagi Mukhriz, belia di negara ini tidak harus menghabiskan masa di rumah setelah memperoleh ijazah, sebaliknya mereka perlu keluar mencari pekerjaan tanpa mengira bayaran gaji.
Baca artikel sebelum: Komen Mukhriz minta kerja jadi pelayan kafe curi perhatian
Kata Mukhriz lagi ketika ditemui Sinar Online selepas sidang media di sini semalam, beliau juga seperti anak muda lain, pernah bekerja separuh masa untuk mengisi masa terluang semasa menyambung pengajian suatu ketika dahulu.
“Selepas saya tamatkan pengajian di maktab, saya telah dihantar (menyambung pengajian) ke Jepun. Saya bekerja separuh masa di sebuah bank di sana dengan gaji yang diberikan hanya RM350 sebulan.
“Saya bekerja selama lima hari seminggu dan saya gunakan duit gaji yang diperoleh untuk menyara keperluan diri di sana,” katanya ketika ditemui Sinar Online, di sini, hari ini.
Mukhriz sebelum ini pernah mencuri perhatian netizen apabila membalas komen mencuit hati di laman sosial Instagram milik sebuah kafe di Kedah.
Difahamkan, akaun Instagram berkenaan pada mulanya memuat naik gambar bagi mengiklankan jawatan kosong sebagai pelayan di kafe berkenaan.
Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah gambar yang dimuat naik tersebut turut mendapat perhatian dan komen yang menggelikan hati daripada anak kepada bekas Perdana Menteri tersebut.
“Kita tak mahu anak muda membuang masa dengan hal yang tidak berfaedah. Kalau ada peluang kerja, eloklah ambil peluang tersebut,” katanya lagi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW