Pelanggan Rayani Air mempersoalkan jika Mavcom memahami transaksi tempahan tiket menggunakan kad kredit memandangkan tiket sudah lama dibeli dan bayaran sudah dibuat kepada syarikat penerbangan itu.
PETALING JAYA: Pelanggan Rayani Air mendakwa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) cuba menipu dengan meminta mereka mendapatkan wang tebusan daripada bank, sedangkan bayaran sudah dibuat kepada syarikat penerbangan itu selepas menempah tiket.
Zarina Abu, 39, berkata pihak bank menolak permintaannya untuk mendapatkan wang tebusan dengan alasan tiket itu sudah lama dibeli dan dibayar kepada Rayani Air.
“Apabila saya dapat e-mel (daripada Mavcom), saya telefon RHB (kad kredit yang digunakan untuk beli tiket). Namun, saya terkilan apabila pihak bank kata saya tidak boleh tebus wang saya kerana urusan pembelian tiket ini sudah lama, saya buat tempahan pada Januari lalu.
“Sekarang sudah Ogos dan sudah tentu wang itu dah dibuat kepada Rayani Air. Saya tidak tahu sama ada mereka ini faham sistem bank atau tidak.
“Bukan salah bank dan kenapa bank nak bayar balik, sedangkan transaksi itu antara pelanggan dan Rayani Air,” katanya kepada FMT yang kecewa dengan tindakan Mavcom.
Semalam, Mavcom menyatakan pelanggan Rayani Air yang membeli tiket menggunakan kad kredit atau debit, tetapi gagal meneruskan penerbangan ekoran pembatalan operasinya boleh menuntut semula wang itu.
Menurut Mavcom, pelanggan hanya perlu memohon bayaran balik daripada bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut.
Zarina berkata, tindakan Mavcom itu hanya melengah-lengahkan masa pemulangan wang untuk tiket ditempah mereka.
“Memang macam menipu. Kenapa baru semalam e-mel. Kenapa tidak dari awal masa dia (Mavcom) putuskan untuk batalkan lesen (Rayani Air). Saya rasa macam nak lengah-lengahkan masa,” katanya.
Sementara itu, bekas kakitangan Rayani Air, Mohamad Amirul A Rahim menyifatkan tindakan Mavcom seperti mahu lepas tangan dan menutup kesalahan mereka, selepas menggantung lesen syarikat penerbangan patuh syariah itu.
Katanya, ramai pelanggan Rayani Air mengadu mereka tidak boleh mendapatkan wang tebusan memandangkan tiket sudah lama ditempah.
“Semalam, saya dapat mesej dalam group (WhatsApp kumpulan pelanggan Rayani Air) yang mengatakan ada sesetengah bank tidak boleh kembalikan wang mereka.
“Sebabnya urusan pembelian sudah lama. Sejak April lalu dan sekarang Ogos. Sudah empat bulan setengah. Kenapa tak buat dari awal?” soalnya.
Pada 25 Mei lalu, Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air mengenai daya tahan kewangan dan daya saing syarikat itu yang disusuli pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara dan Sijil Pengendali Udara pada 13 Jun lalu.
Syarikat yang memulakan operasi pada Disember 2015 itu mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa 8 April lalu, sebagai sebahagian pelan penstrukturan semulanya, tanpa kebenaran Jabatan Penerbangan Awam.
Sumber: FMT
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW