Kerajaan Kota Singa bakal mengubah perlembagaan bagi menjamin etnik minoriti dipilih sebagai calon presiden “dari masa ke semasa”, selaras dengan komposisi majmuk rakyatnya.
Perdana Menterinya Lee Hsien Loong berkata kertas putih mengenai cadangan perubahan tersebut bakal diterbitkan tidak lama lagi.
“Singapura merupakan satu masyarakat berbilang kaum, jadi perlindungan diperlukan untuk memastikan minoriti boleh menjadi presiden dari masa ke semasa,” kata Lee dalam akaun Twitternya, susulan ucapan Hari Kebangsaan beliau malam tadi.
Sejak Januari lalu, Suruhanjaya Perlembagaan telah ditugaskan untuk memeriksa tiga bidang kajian utama bagi meningkatkan kriteria kelayakan calon presiden, mengukuhkan Majlis Penasihat Presiden dan memastikan golongan minoriti boleh dipilih.
Selain itu, individu yang ingin bertanding bagi jawatan tertinggi tersebut juga perlu memenuhi syarat-syarat yang lebih ketat.
Memperincikan proses undang-undang yang bakal diubah itu, Lee berkata kerajaan bakal memperkenalkan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Perlembagaan untuk memasukkan perubahan calon presiden yang dipilih.
Butir-butir mengenai perubahan itu akan dibahaskan di Parlimen dan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 89 Ahli Parlimen yang dipilih mesti mengundi untuk pindaan tersebut sebelum diluluskan.
Lee berkata pembaharuan itu mesti dilaksanakan sekarang sementara masyarakat masih bersatu padu dan penting untuk kelangsungan Singapura.
“Walaupun sistem politik di sini baik, beberapa aspek perlu dikemas kini. Jika sistem politik gagal berfungsi, kita juga gagal menghasilkan pemimpin yang baik. Kita percaya tanpa kerjasama kita boleh berpecah, maka semua rancangan terbaik yang dibentangkan akan menjadi sia-sia,” katanya.
Sebagai contoh, Lee berkata Britain telah mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah atas sebab-sebab yang kompleks termasuk ketidaksamaan sosioekonomi dan kurang percaya dalam kelas politik.
“Keadaan seperti itu juga boleh berlaku di Singapura kecuali politiknya menyatukan negara dan membela kaum yang berbilang bangsa,” katanya.
Presiden merupakan ketua negara Singapura, dan mempunyai kuasa terhadap dua perkara besar: rizab dan perlantikan.
Pada tahun 1991, perlembagaan Singapura diubah untuk membolehkan presiden dipilih secara terus melalui undi popular rakyat.
Presiden pertama Singapura pada 1965, Yusof Ishak, berbangsa Melayu. Antara enam presiden kemudiannya, terdapat dua daripada kaum India dan empat daripada kaum Cina, termasuk presiden sekarang Tony Tan.
Sumber: Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW