PENYOKONG Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) buat hal lagi semalam apabila mencetus kekecohan selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak.
Persengketaan yang bermula sejak 2013, kini memasuki tahun ketiga namun belum menunjukkan tanda-tanda dendam sesama penyokong mulai reda.
Tidak kira sama ada kedua-dua pasukan bertembung di Ipoh atau Johor Bharu, kekecohan pasti berlaku kerana penyokong mengusung dendam ke stadium.
Soalnya sampai bila penyokong kedua-dua pasukan mahu bergaduh? Belum terlunas lagikah dendam setelah saban tahun ‘bertempur’? Dan kini apabila lagi yang penyokong kedua-dua pasukan mahu dendamkan?
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak kedua-dua negeri perlu mengambil tindakan drastik untuk membendung kejadian ini.
Dalam hal ini, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) awal-awal lagi memberi amaran kepada penyokongnya agar menimbangkan hasrat untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di Larkin, Rabu ini atas faktor keselamatan
“Kami mahu jaminan keselamatan seratus peratus daripada PBNJ terhadap penyokong Perak dalam perlawanan itu nanti.
“Jika tidak lebih baik penyokong Perak tidak ke tempat lawan kerana ini melibatkan nyawa,” kata Naib Presiden Pafa, Datuk G. Iruyanathanini.
Di peringkat persatuan bola sepak negeri kedua-dua pasukan, pegawai tertinggi mereka perlu bersemuka untuk mencari penyelesaian masalah ini.
Selain itu sebagai langkah awal, elok rasanya penyokong kedua-dua pasukan dilarang atau dihadkan jumlahnya untuk bertandang ke tempat lawan.
Dalam pada itu, Pafa mahu FAM mengambil tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) kerana penyokongnya mencetuskan kekecohan semalam, malah mengakui mereka mempunyai segala bukti termasuk rakaman video insiden itu.
Sumber : Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW