Seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai pesakit pertama dijangkiti virus Zika di Singapura.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura yang dimaklumkan mengenai kes itu berkata, oleh kerana dia tidak berkunjung ke kawasan-kawasan yang kes itu dilaporkan, dia mungkin telah dijangkiti di Singapura.
Wanita itu tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent dan bekerja di Singapura.
“MOH dan NEA sedang bekerjasama untuk menjalankan kawalan vektor dan pemeriksaan ke atas penduduk yang mengalami demam dan ruam bagi mengurangkan risiko terus merebak,” kata Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Saya menasihatkan mereka mereka yang mempunyai tanda-tanda ini supaya menemui doktor untuk rawatan. Kami juga telah memaklumkan klinik-klinik kami di kawasan tersebut untuk mengenal pasti kes-kes yang disyaki dan merujuknya kepada Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) untuk ujian.”
Menurut MOH dan NEA, pesakit mengalami demam, ruam dan konjunktivitis sejak 25 Ogos.
Dia menemui pengamal am (GP) pada 26 Ogos dan dirujuk ke CDC di Hospital Tan Tock Seng apabila ujian yang dijalankan mendapati dia positif Zika pada 27 Ogos.
Dia telah dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian di CDC dan kini semakin baik dan pulih.
MOH dan NEA berkata, memandangkan kes Zika dilaporkan di rantau ini dan kekerapan perjalanan oleh warga Singapura serta pelancong, adalah tidak dapat dielakkan kes import Zika dilaporkan di Singapura.
Ada juga risiko jangkitan berlaku di republik itu kerana vektor nyamuk Aedes terdapat di sini.
Ketika MOH dan NEA telah meningkatkan langkah berjaga-jaga, adalah dijangka lagi kes Zika mungkin dilaporkan kerana kebanyakan pesakit yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda, kata kenyataan itu.
MOH sedang mengenal pasti mereka yang dikunjungi oleh pesakit termasuk anggota keluarga dan menjalankan ujian Zika ke atas orang lain yang tinggal dan bekerja di kawasan itu yang mengalami demam dan ruam.
Ketika ini, tiga lagi kes yang disyaki – dua dari keluarga yang tinggal di kawasan tersebut dan seseorang individu – telah disahkan positif berdasarkan sampel air kencing.
Mereka masih menunggu ujian pengesahan seterusnya, kata kenyataan itu.
Sebagai langkah tambahan, semua kes jangkitan virus Zika yang disyaki akan diasingkan sementara menunggu pengesahan keputusan ujian darah, kata kenyataan itu. – Bernama
Sumber: Mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW