Bilik ICT Jabatan Perhutanan terbakar di KL, rugi lebih RM20 juta

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengalami kerugian lebih RM20 juta selepas bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) jabatan itu musnah dalam kebakaran di Jalan Sultan Salahuddin di sini, hari ini.

Bilik ICT Jabatan Perhutanan terbakar

Bilik ICT Jabatan Perhutanan terbakar

Kejadian kira-kira 10 pagi itu menyebabkan bilik yang menempatkan peralatan teknologi maklumat jabatan di tingkat atas bangunan tiga tingkat itu musnah sepenuhnya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abdul Rahim, berkata kesemua barangan yang musnah ini adalah aset komputer jabatan yang bernilai tinggi.

“Antara aset yang musnah ialah set komputer, pencetak pelan, mesin pengimbas dan peralatan ‘server’.

“Bagaimanapun, rekod penting perhutanan berjaya diselamatkan kerana pihak pengurusan telah membuat salinan pendua melalui Pelan Komunikasi Krisis Jabatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Samsol Maarif Saibani berkata 27 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah, Hartamas serta Taman Tun Dr Ismail bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Kita menerima panggilan pada 10.28 pagi tadi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.59 pagi,” katanya.

Mohd Samsol berkata pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian dan tiada kemalangan jiwa direkodkan kerana waktu kejadian pejabat jabatan itu ditutup sempena cuti Hari Malaysia.

“Siasat awal mendapati kebakaran ini berkemungkinan berpunca dari litar pintas dari bilik komputer dan ‘server’ di bangunan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

 

Sumber: BH Online



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post