Penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang memenangi pingat perak di Olimpik Rio 2016 menerima insentif unit pangsapuri bernilai RM320,000 dan wang tunai RM15,000 daripada Kerajaan negeri Perak, hari ini.
Insentif berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut atlet yang juga anak jati Perak itu, dia tidak sangka kerajaan negeri memberikannya hadiah sebesar itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya.
“Insentif ini satu motivasi besar pada diri saya dan saya terharu serta tidak mampu meluahkan dengan kata-kata atas apa yang saya terima hari ini.
“Saya harap ini akan memberi saya semangat untuk mencapai lebih banyak kejayaan demi negara dan negeri tercinta ini,” katanya.
Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk memberikan imbuhan dalam bentuk wang tunai yang besar, namun atas usaha daripada Menteri Besar dan Abdul Puhat mereka memberikan insentif yang difikirkan layak diterima Jun Hoong ini.
Sumber: Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW