Penerbit Skop Production Sdn Bhd Datuk Yusof Haslam tidak mahu ambil kisah sekiranya ada pihak yang mahu mempertikaikan filem Munafik memenangi anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).
Filem Munafik memenangi beberapa anugerah utama di FFM28 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.
Selain memenangi anugerah Filem Terbaik Nasional FFM28, pengarahnya juga anak kepada Yusof, Syamsul turut memenangi anugerah Pengarah Terbaik.
Sebelum ini ada pihak mempertikai apabila filem Munafik menerima banyak pencalonan dalam kategori utama.
Mereka mendakwa Yusof menggunakan pengaruhnya sebagai Timbalan Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pengerusi Persatuan Penerbit Filem (PFM) bagi memastikan Munafik tercalon sekali gus memenangi beberapa anugerah utama.
Ketika ditemui di sidang media, Yusof menegaskan pertikaian kemenangan filem diterbitkan produksi miliknya berlaku sejak kali pertama Syamsul memenangi anugerah Pengarah Terbaik sebanyak dua kali sebelum ini.
Andai ada pihak mahu mempertikai kemenangan Munafik selepas ini dia tidak kisah.
“Di media sosial mereka boleh kata apa saja, sedangkan ini soal rezeki. Pangkat yang saya ada dalam Finas dan PFM bukan saya yang minta.”
“Keputusan bergantung penuh pada juri menilai. Dan saya sendiri tidak tahu siapa mereka,” katanya.
Tegas Yusof, sepatutnya penggiat menyokong antara satu sama lain dan bukan saling menjatuhkan. Apa yang penting penggiat filem tempatan memastikan karya mereka dapat menarik penonton terus menonton di pawagam.
Sumber: Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW