Berkata kepada Utusan Online, Nadiya mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk berbuat demikian, namun terpaksa akur dengan kontrak kerjanya.

“Jadi, Ramadan lalu semasa masih mengandungkan bayi kedua dan berpantang, saya mengambil keputusan untuk berehat di rumah. Ketika itulah saya perlahan-lahan cuba mengenakan tudung.

“Alhamdulillah, selepas tiga bulan berlalu, saya semakin selesa dengan perubahan diri dan berdoa agar terus dikuatkan iman untuk istiqamah,” katanya yang pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM27 menerusi filem Terbaik Dari Langit itu.

Bagaimanapun pada 31 Julai lalu, bayi yang dikandungnya disahkan meninggal dunia di dalam perut.

Sementara itu Nadiya memberitahu, perubahan itu disambut baik oleh suaminya, Saiful Razman Kasim yang lebih gemar melihat wajah ayunya bertudung.

“Ayat pertama yang keluar dari mulutnya memberitahu betapa cantiknya saya bertudung. Dia amat sukakannya,” ujar Nadiya.

Tambah pelakon yang sedang menjalani penggambaran telefilem Kari Sanjana itu, pihak produksi juga tiada masalah untuk menawarkan watak bersesuaian dengan imej terbaharunya.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE