Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.
Naib Presidennya, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Zulkifli itu dibuat dengan tidak melihat secara menyeluruh kerana RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.
“Saya hairan juga dengan mufti ini. Ini isu legislatif ada prosedurnya. Sebagai ahli legislatif, kita berbahas atas fakta, kerangka prosedur, Perlembagaan dan sebagainya. Bagaimana kamu buat pendirian tanpa kamu dengar apa Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bentang lagi?
“Ketika Marang bentang, tidak ada perincian apa pun lagi. Kita tak dapat tengok apa-apa maklumat pun. Kenyataan ‘wajib’ itu dibuat tanpa melihat keseluruhan isu-isu ‘legal’, prosedural yang lebih rumit daripada sekadar suruh sokong,” katanya kepada Sinar Online.
Sebelum ini, Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong manakala yang bukan Islam perlu menyokong pindaan itu memandangkan ia membawa kebaikan.
Bacaan kedua bagi RUU355 itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas Abdul Hadi berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.
Dalam pada itu, Mujahid berkata, sokongan bukan isu sebaliknya ia lebih menjurus ke arah isu teknikal dan pelaksanaan.
“Secara asasnya, kalau bercakap tentang undang-undang Islam, siapa yang tak sokong? Itu bukan isunya. Kalau sebut dari segi sokongan, perkara yang dah ada pun banyak kelemahan, bagaimana kita nak sokong perkara yang kita tak tahu.
“Saya sudah membaca kenyataan beliau tapi saya masih menganggap itu hanya satu pandangan sahaja. Jangan gunakan kedudukan beliau untuk mengeluarkan perkataan ‘wajib’ itu. Ini perkara legislatif…dah semacam satu tekanan pula,” katanya.
Katanya, tindakan Zulkifli yang memetik titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13, lebih mengelirukan.
“Sedangkan kenyataan Tuanku itu lebih menyebut memperkasakan mahkamah syariah tapi pemerkasaan itu bermula sejak awal lagi. Ada lagi akta yang belum dibawa di mana hakim mahkamah syariah tangga gajinya masih rendah. Itu boleh jadi maksud Tuanku.
“Kenapa tiba-tiba beliau ambil konteks yang begitu sempit dan kata Tuanku suruh sokong? Jika beliau menyebut ini atas kapasiti peribadi, saya tidak kisah. Tapi di sini, beliau menyebutnya sebagai mufti?” katanya.
Dalam titah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13, Mac lalu, Tuanku Abdul Halim mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah disegerakan.
Sumber: Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW