PAS menyokong cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar waktu bekerja di negara ini dipendekkan daripada lapan kepada hanya enam jam sehari.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata,undang-undang sedia ada memperuntukkan jumlah jam bekerja seminggu 48 jam dengan maksimum lapan jam sehari dan enam hari bekerja seminggu.
“Jumlah masa yang lama ini jika dipendekkan boleh memberi kesan positif dalam menambah produktiviti dan mengoptimumkan prestasi pekerja.
“Menjamin kesihatan perkerja dengan lebih baik kerana bebanan kerja dan tekanan dapat dikurangkan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas berikutan waktu mula dan tamat kerja dapat dijadualkan secara beberapa peringkat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Mohd. Khairuddin turut mencadangkan waktu kerja yang lebih pendek dan fleksibel kepada golongan wanita yang telah berkahwin bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab terhadap suami, anak-anak dan keluarga dengan lebih berkesan.
“Islam sememangnya menganjurkan manusia berusaha dan berkerja bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, namun ia tidaklah boleh sampai ke tahap memperhambakan diri kepada kebendaan,” katanya.
Semalam, MTUC berpendapat waktu bekerja selama 48 jam seminggu yang diperuntukkan di bawah undang-undang adalah terlalu ‘lama’ berbanding negara-negara yang lain.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam dipetik berkata, pengamalan waktu bekerja yang panjang akan memberi kesan buruk kepada pekerja dalam jangka masa yang lama dan akhirnya mengurangkan produktiviti.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW