Keputusan Brunei larang filem Pekak merugikan negara itu sendiri kerana ia sarat dengan pengajaran, kata pelakon utamanya Sharifah Amani.
Filem itu, mengisahkan orang kelainan upaya (OKU) dalam dunia pengedaran dadah, dapat membuka mata penonton berhubung masalah sosial yang semakin meruncing, katanya.
Rugi dan kasihanlah Brunei larang filem Pekak, kata pelakon
“Rugi dan kasihanlah Brunei. Saya pun tidak tahu kenapa Pekak tidak diluluskan untuk ditayangkan di sana,” kata Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya kepada ProjekMMO.
Beliau ditemui pada acara karpet merah malam kemuncak Festival Filem Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Brunei mendakwa filem itu memberi pengaruh tidak baik kerana memaparkan babak menghisap dan menjual dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei menyatakan alasan itu dalam suratnya pada 23 Ogos kepada pengedar filem itu Primeworks Distribution, lapor Harian Metro kelmarin.
Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lightbulb Pictures mula ditayangkan di seluruh negara sejak 1 September lalu. Ia asalnya ingin ditayangkan serentak di negara jiran itu.
Mengulas lanjut, Sharifah Amani berkata Malaysia lebih bijak menilai seni dari dasar yang lebih tinggi.
“Alhamdulillah kita duduk di Malaysia, di mana orangnya lebih memahami cara untuk mendidik melalui seni visual,” katanya.
“Kita jangan menipu atau jangan cuba sorok [realiti] … Itu cara kita berdakwah. Insya Allah, orang dapat kebaikan daripadanya.
“Semua cerita dalam dunia ini ada unsur negatif dan Pekak memaparkannya. Seperti sebuah kehidupan, semuanya ada yang hitam dan putih.”
Walaupun kecewa dengan keputusan Brunei, pengurus besar pengedaran Primeworks Distribution, Marini Ramlan, dilaporkan berkata pihaknya akur.
“Kami sedar unsur-unsur yang ditampilkan dalam filem ini tidak menepati peraturan negara mereka, tetapi itulah realiti kehidupan yang cuba kami tonjolkan di dalam filem ini,” katanya.
Selain Sharifah Amani, Pekak yang diarah Khairul Azri Mohd Noor turut dibarisi Zahiril Adzim, Sharifah Sakinah, Joe Flizzow, Amerul Affendi dan Iedil Putra.
Ia mengisahkan Uda (Zahiril), seorang pekak, yang terjerumus dalam dunia dadah dan masalah sosial bagi menampung kos pembedahan koklea agar dapat mendengar semula.
Pada masa sama Uda jatuh cinta kepada Dara (Sharifah Amani), remaja yang mendambakan kasih sayang ibu bapa.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW