Berdepan pertimbangan untuk merobohkan tugu burung helang di Pulau Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebarang tindakan seperti itu tidak akan menjadikan umat Islam lebih warak.
Dalam tulisan terbaru di blog beliau, bekas perdana menteri itu mempersoalkan gesaan beberapa pihak agar patung dan tugu dirobohkan kononnya kerana melanggar hukum syarak Islam.
“Umat Islam di zaman moden tahu ia bukan Tuhan dan mereka tidak menyembahnya,” katanya, merujuk kepada patung dan tugu tersebut.
“Kita juga tidak mempunyai upacara di Tugu Peringatan yang mungkin dianggap seperti penyembahan. Tetapi kita tidak buat upacara di hadapan patung perdana menteri pertama atau helang di Langkawi. Kami tidak melanggar hukum Islam.”
“Setakat ini tiada umat Islam pernah sembahyang atau menyembah helang Langkawi. Memusnahkannya tidak akan membuat orang Melayu lebih Islam,” tambahnya.
Timbalan mufti Perak, Zamri Hashim baru-baru ini mendakwa memasang replika helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.
Dalam sebuah akhbar, ketua cawangan Ipoh kumpulan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) itu mendakwa menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.
Ekoran itu, Persatuan Pelancongan Langkawi telah membantah sebarang cadangan merobohkan replika raksasa helang di Langkawi, mendakwa replika setinggi 12 meter yang terletak di Dataran Lang di sini telah menjadi tarikan pelancongan utama sejak lebih 20 tahun lalu.
Turut senada dengan Mahathir, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini membidas pendapat agamawan bahawa tugu berbentuk helang di Langkawi haram di sisi Islam.
Menurut menteri pelancongan dan kebudayaan, tiada masalah berkenaan tugu replika helang di Dataran Lang itu kerana ia bukanlah digunakan untuk tujuan keagamaan.
Sumber: Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW