Dalam pertemuan lebih dua jam yang diadakan di Hotel Thistle itu, mereka hadir bersama cadangan mahu mencalonkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut untuk mengisi jawatan Presiden FAM dalam pemilihan yang dijangka diadakan pada Januari tahun depan.

Salah seorang wakil ahli gabungan FAM iaitu Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satianathan mendedahkan, kesemua yang hadir dalam pertemuan tersebut kini hanya menunggu lampu hijau daripada Tunku Ismail sama mahu menerima cadangan mereka.

Jelasnya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) adalah calon terbaik bagi mengisi jawatan Presiden FAM berikutan penglibatannya secara langsung dalam bola sepak, di samping minat dan komitmen mendalam yang membolehkan beliau membangunkan JDT dalam tempoh singkat.

“Kami bertemu dengan TMJ untuk sampaikan hajat agar beliau menerima cadangan kami untuk mencalonkannya bagi mengisi jawatan Presiden FAM.

“Selain itu kami juga mendengar cadangan TMJ bagaimana untuk membawa perubahan dalam FAM. Semua orang tahu, pemimpin yang paling cekap untuk mentadbir bola sepak adalah Tunku Ismail. Ini dibuktikan dengan kejayaan yang dibawa oleh JDT.

“Buat masa ini beliau belum membuat keputusan sama ada mahu menerima atau sebaliknya kerana TMJ minta masa untuk memikirkan lebih mendalam tentang jawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, TMJ menolak ‘formula’ yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil alih Presiden FAM de­ngan alasan mahu mengelak wujudnya konflik kepentingan dengan JDT.

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sehingga perbincangan lanjut diadakan.

FAM sedang dilambung ombak besar dengan kemuncaknya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan untuk melepaskan jawatan pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, barisan Exco FAM berjaya memujuk Tengku Abdullah agar menangguhkan hasrat itu sehinggalah mereka membincangkan niatnya dalam mesyuarat khas.