600 Tong gas bertaburan atas jalan raya berdekatan RnR Seremban

Sebuah lori gas petroleum cecair (LPG) terbabas menyebabkan ratusan tong bertaburan atas lebuh raya PLUS di KM274.9 arah utara dekat R&R Seremban, pagi Sabtu.

600 Tong Gas Bertaburan Atas Lebuh Raya Dekat Seremban

600 Tong Gas Bertaburan Atas Lebuh Raya Dekat Seremban

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera akibat terkena tong gas yang kebetulan terpelanting jatuh ketika melalui kawasan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrol Tamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.50 pagi.

“Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi. Sebaik tiba, kita mendapati lori membawa muatan 600 tong LPG terbabas ke bahu jalan,” katanya kepada pemberita.

Pemandu lori itu memaklumkan tong gas yang dibawanya terjatuh sewaktu cuba mengelak sebuah kenderaan lain di lebuh raya berkenaan. Ini menyebabkan tong gas terjatuh atas lebuh raya.

“Seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC cedera kerana terjatuh dari motosikalnya. Bahagian depan dua buah kereta turut mengalami kerosakan,” kata beliau lagi.

Sebahagian daripada ratusan tong tersebut didapati bertaburan di atas jalan namun pemandu lori itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan dan mujur tiada letupan atau kebakaran.

Manakala seorang penunggang motosikal yang cedera disebabkan terkena tong gas berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan kami mendapati tiada sebarang kebocoran pada tong gas terbabit dan pemilik lori itu memaklumkan sebuah lori lain akan mengambil tong gas yang terjatuh itu,” katanya.

Badrol Tamam berkata, kerja pengalihan tong LPG itu selesai namun pihaknya tetap menjalankan pemeriksaan ke atas semua tong bagi memastikan selamat. – Agensi/HAA

 

Sumber: Mynewshub.cc



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post