Doktor beritahu dapat hidup 2 jam je, Lelaki dimasukkan dalam beg mayat ketika dia masih hidup, dan dibiarkan di tepi jalan

Kerja mereka mulia, kerja mereka menggali runtuhan bangunan untuk menyelamatkan nyawa mangsa perang di Syria.

Atas kehebatan sumbangannya, kumpulan Topi Putih dicalonkan untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan.

Ramai cuba membantu mereka, menghulurkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang dianggotai 3,000 sukarelawan.

Dianggap sebagai “pahlawan” mulia, mereka bergegas setiap kali bangunan di negara konflik itu dibom.

Kumpulan ini, nama asalnya Pertahanan Awam Syria, telah menyelamatkan 60,000 nyawa dengan bantuan jentera dan perkakas Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Belanda.

Namun Topi Keledar Putih tidak mahu dibantu lagi apabila ditanya oleh penggubal dasar dan pegawai Amerika Syarikat dalam lawatan kumpulan itu di negara tersebut, lapor The New York Times.

Bagi ketuanya Raed Saleh, tidak guna mendapatkan lagi sokongan atau dana bagi membantu operasi menyelamatkan nyawa mangsa perang.

“Saya tidak mahu terus-menerus mencari [nyawa] di bawah runtuhan, tidak pasti jika nanti mungkin kanak-kanak yang saya temui itu anak saya sendiri,” katanya dalam tulisannya di akhbar itu hari ini.

“Kami gembira kerja sukarela kami diberikan liputan di muka depan majalah ‘Time’. Namun kami tidak gembira terpaksa menjalankan tugas ini. Kami sangat benci nasib kami ini.

“Apa yang kami perlukan bukan bantuan meneruskan kerja ini, tetapi sokongan agar tugas ini berakhir.”

Apabila ada pihak ingin menghulurkan bantuan, beliau menceritakan “Saya cuba jelaskan [kepada mereka], walau ramai orang melihat tugas kami berani dan berjasa, kami tidak mahu meneruskannya.”

April lalu, Amerika Syarikat mengecam tindakan pasukan tentera Syria yang didakwa mengebom sebuah pusat sukarelawan Topi Putih di Al-Tarab, dekat Aleppo.

Regim presiden Bashar al-Assad dikutuk atas dakwaan menyerang pasukan perubatan dan kumpulan penyelamat di kawasan yang dikuasai penentangnya, lapor AFP.

Dalam tulisan itu, Raed menceritakan bagaimana bom bertenaga tinggi “bunker buster” dijatuhkan di Aleppo meranapkan seluruh bangunan, sehingga merosakkan ruang berlindung orang ramai, hospital dan sekolah bawah tanah.

Bom yang digugurkan dari kapal terbang Syria dan Rusia di lokasi itu sejak sebulan lalu, selepas gencatan senjata berakhir, belum pernah dialami negaranya.

“Dalam tempoh 21 hari, kami mengira 2,400 serangan udara di Aleppo. Daripada jumlah ini, lebih 20 menggunakan bom ‘bunker buster’, senjata yang meranapkan seluruh bangunan dan [bom ini] baru dalam perang Syria,” katanya.

Raed juga menceritakan kisah menyayat hati dalam situasi konflik itu, sejak Mac 2011 susulan kebangkitan rakyat menentang Assad sebelum campur tangan pengganas ISIS.

“Seorang lelaki yang cedera parah dibawa ke hospital tetapi tidak ada lagi ruang di lantai untuk pesakit-pesakit baru.

“Doktor memberitahu jururawat: ‘Lelaki ini mungkin hidup lebih dua jam sahaja. Keluarkan dia dari sini supaya kita boleh masukkan mereka yang masih boleh diselamatkan.’

“Lelaki ini dimasukkan di dalam beg mayat ketika dia masih hidup, dan dibiarkan di tepi jalan untuk dikebumikan [nanti].

“Beginilah kesengsaraan yang kami terpaksa tempuh di Aleppo,” coretnya lagi, dalam artikel “We’ve tried every kind of death possible”.

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post