Akibat tidak mematikan enjin, seorang posmen dan Pos Malaysia Berhad rugi RM71,000 selepas van milik syarikat itu dilarikan dan barangannya dirompak.
Ketua Polis Daerah Tawau berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.20 petang Jumaat minggu lalu ketika pemandu van berusia 25 tahun menghantar barang di Perdana Square, di sini, dan membiarkan enjin dalam keadaan hidup.
“Kira-kira lima minit selepas menghantar barang, pemandu itu terkejut melihat van yang dipandunya tiada di tempat letak kereta,” kata Supritendan Fadil Marsus seperti dilapor Berita Harian.
“Dia cuba melihat rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan kedai berhampiran dan mendapati seorang lelaki berlari menuju ke van terbabit dan melarikannya.”
Selain surat dan barangan pos, beberapa barang peribadi termasuk telefon bimbit dan buku simpanan kewangan mangsa dilaporkan hilang.
“Ketika kejadian, ada orang awam yang melihat tetapi mereka beranggapan ia dipandu oleh kawan mangsa,” katanya.
Van Toyota Hiance Panel putih itu dijumpai keesokan pagi dalam sebuah semak di Kampung Hidayat, di sini dan polis masih giat memburu suspek.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW