Iran wajibkan bertudung: Atlet India tarik diri selepas protes pemain catur

Seorang lagi atlet memulaukan kejohanan sukan di Iran setelah diwajibkan bertudung, menyusul ancaman boikot pemain catur Amerika Syarikat.

Wajib bertudung: Atlet bukan Islam tarik diri selepas protes pemain catur

Wajib bertudung: Atlet bukan Islam tarik diri selepas protes pemain catur

Heena Sidhu, penembak India, menarik diri daripada kejohanan Asia yang dijadual di Tehran pada Disember kerana disyaratkan bertudung, lapor portal India Today semalam.

Antara penembak terbaik dunia, walau gagal di Olimpik Rio, beliau memaklumkan tindakannya itu kepada persatuan sukan menembak India tiga minggu lalu.

Heena, pemenang emas dunia acara 10 meter senapang angin di Jerman pada 2013,

mengesahkan enggan ke Iran dalam coretannya di Twitter, semalam.

“Saya bukan seorang revolusioner. Tetapi saya rasa mewajibkan ahli sukan bertudung tidak melambangkan semangat kesukanan,” tweetnya.

Baginya, sukan merentasi pelbagai perbezaan budaya, latar belakang, jantina, ideologi politik dan agama bagi membolehkan atlet bersama-sama dalam sesuatu kejohanan.

“Sukan itu menunjukkan upaya dan prestasi luar biasa manusia. Kebolehan kita untuk menggali kekuatan, tekad dan azam,” kata Heena, 27, lagi seperti dilaporkan.

“Kerana itulah saya bertanding dan saya tidak boleh bertanding kerana sebab-sebab lain. Namun saya juga tidak mahu sikap saya ini dijadikan bahan politik.”

Heena hanya mampu berada di tangga ke-14 setelah gagal melepasi pusingan kelayakan acara senapang angin 10 meter di Brazil, Ogos lalu.

Selain juara kejohanan dunia pada 2013, beliau juga merangkul emas di pusingan kelayakan Olimpik di peringkat Asia.

Sebulan lalu, pemain-pemain catur wanita membantah kejohanan dunia, yang dijadual tahun depan, di Iran setelah mereka diwajibkan memakai tudung.

Ramai daripada 64 pemain utama dilaporkan ingin memulaukan kejohanan kalah mati tersebut.

Nazi Paikidze, juara catur wanita Amerika Syarikat, menyifatkan peraturan itu bukan sahaja tidak munasabah malah mereka boleh dipenjarakan jika tampil tidak bertudung.

“Sangat tidak boleh diterima untuk menganjurkan kejohanan penting wanita di tempat yang memaksa mereka bertudung.

“Saya faham dan hormat perbezaan budaya tetapi gagal mematuhi peraturan itu boleh dipenjarakan dan akibatnya hak wanita sangat-sangat terbatas.

“Tidak selamat bagi wanita serata dunia untuk bermain di sana,” katanya seperti dilaporkan.

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post